Thursday, 14 May 2015

Tadau Kaamatan UPKO 2015




TUARAN: Buat pertama kalinya parti Upko akan menganjurkan perayaan Pesta Kaamatan mereka tahun ini di daerah Kiulu pada 12 Mei ini (Selasa) bermula jam 8 pagi.

Program yang dinamakan ‘Tadau Kaamatan Upko 2015’ itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di Dewan Masyarakat Kiulu.


Penganjuran di daerah yang terkenal dengan pusat sungai tagal dan sukan Bot Arus Deras itu merupakan pengiktirafan dan tanda penghormatan mereka kepada pemangku Presiden Upko yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau yang berasal dari Kiulu.

Madius, kini menjadi peneraju parti itu sejak Mac 2014 lalu menggantikan mantan presiden Upko, Tan Sri Bernard G. Dompok, sebagai pemangku Presiden Upko.

Menariknya mengenai penganjuran kali ini yang bertemakan ‘ Berkhidmat Berbudaya’ itu, penyertaan adalah daripada semua 24 Bahagian Upko, termasuk  masyarakat Orang Asli dari Perak, yang dibahagikan kepada 11 zon yang dilengkapi sebuah khemah khas setiap zon.

Menurut Ketua Penerangan Upko, Albert Bingkasan, pelbagai jamuan makanan tradisi seperti linopot, bosou, hinava, sayuran kampung dan minuman seperti lihing dan bahar akan dihidangkan pada waktu itu.

“Selain makanan dan minuman tradisi, pelbagai acara padang dan permainan tradisi juga akan kita diadakan sepanjang sambutan itu nanti,” katanya.

Sebagai acara hiburan, beberapa penyanyi terkenal telah bersetuju untuk memeriahkan lagi suasana Kaamatan kali ini dengan beberapa persembahan istimewa secara langsung termasuk kumpulan Songkotoun yang pastinya akan menghidupkan lagi semangat tradisi Kaamatan itu.

Dalam pada itu, kesemua peringkat Bahagian Upko juga sudah pun memilih wakil masing-masing untuk acara pertandingan Unduk Ngadau, di mana pada hari sebelumnya iaitu 11 Mei bermula jam 5 petang, akan diadakan ‘Sodop Pintutunan Unduk Ngadau’ di Dewan masyarakat Kiulu dan ‘Piboian Monupu Sinding’ juga di tempat yang sama.

“Justeru Upko menjemput semua penduduk di Kiulu untuk memenuhi ruangan Dewan masyarakat Kiulu untuk memeriahkan sambutan sekali setahun itu nanti,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai program itu boleh menghubungi Albert Bingkasan (0168044464) dan Robert Tinus (0109356976).


No comments:

Post a Comment