APPRILISSIA Sue Ann (Kiulu). - Foto: Mohd Syukrie Johary
TUJUH finalis bakal berentap untuk bergelar Juara Sugandoi Terbuka Daerah Tuaran di Dewan Masyarakat Kiulu pada 13 Mei ini.
Mereka ialah Sulaili Amin (Kiulu), As Bryan Misong (Kiulu), Heevine Maria (Telipok), Salvystion@ Tim Anderson (Tamparuli), Jacinda Faye (Tuaran), Christopher Adrian (Kiulu) dan Apprilissia Sue Ann (Kiulu).
Kesemua peserta kali ini merupakan mereka yang berpengalaman luas dalam mana-mana pertandingan Sugandoi di peringkat daerah masing-masing malah ada dalam kalangan mereka pernah memenangi pertandingan-pertandingan besar sebelum ini.
Boleh dikatakan hampir kesemua mereka kali ini berkeupayaan untuk menggondol hadiah juara, namun semuanya hanya akan terjawab pada 13 Mei nanti.
Lima golongan veteran akan bertanding dalam kategori Sugandoi Songkotoun kali ini iaitu Deliman Atung, John Kaling, Gunggoh@ Helen S., Ajis@Ungkut Aling dan Alec Yasin.
Bagi kategori Sugandoi Dazanak pula, seramai empat yang mengesahkan tempat ke final iaitu Christy Elvira Mathius, Safian Dewin, Epy Noeyievett Justin dan Belly Velinda Medri.
Menurut jurucakap jawatankuasa penganjur Sugandoi Daerah Tuaran, Julian Layun, pertandingan akhir itu akan diadakan di Dewan Masyarakat Kiulu bermula pada jam 7 malam manakala sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah adalah pada 14 Mei.
Hadiah-hadiah kepada pemenang bagi kesemua kategori Sugandoi Terbuka, Songkotoun dan Dazanak masing-masing berjumlah RM300 (Juara), RM200 (Naib Juara), RM100 (Tempat Ketiga) dan RM50 (Saguhati).
“Kugiran pengiring adalah daripada Yahai Band yang dibarisi para artis tempatan seperti Benn Simon Bukag, James Sami, Ateng, pemain gitar berpengalaman, Freadolin Baser, Jubilee Eging, dan pemain keyboard, Wandy George,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Julian dan seluruh tenaga kerja Jawatankuasa Penganjur Sugandoi Kaamatan Daerah Tuaran 2015 menjemput orang ramai untuk hadir ke acara itu bagi memberi sokongan kepada semua peserta yang bertanding.
No comments:
Post a Comment