Monday 24 October 2011

7 ORANG BUNUH DIRI SETIAP HARI



LANCAR...Lajim diiringi oleh John Dr.Haji Jamil dan Edmond menarik baner sebagai simbol pelancaran program tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

DIANGGARKAN seramai tujuh orang membunuh diri setiap hari dan lebih kurang 140 orang melakukan percubaan membunuh diri setiap hari di negara ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata walaupun jumlah ini boleh dianggap sebagai kecil terpencil namun menunjukkan lebih kurang sebelas peratus dari populasi penduduk Malaysia mengalami penyakit mental

“Peratusan ini mungkin lebih tinggi dari yang dilaporkan kerana sekitar lima hingga ke sepuluh peratus penduduk dalam komuniti memerlukan bantuan dalam menangani kemurungan dalam satu-satu masa bagi menangani kes ini,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri di Dewan Masyarakat Dato Shah Bandar Makang Kuala Penyu pada petang sabtu lepas.

Hadir Sama Wakil Rakyat Kawasan Kuala Penyu John Teo Mau Sing; Pegawai Daerah Kuala Penyu Edmond Teo; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Bahagian Kesihatan Awam) Dr.Haji Jamil Muhi dan Pegawai Kesihatan Kawasan Beaufort Dr.Tasin Kamarul Jamal.

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort, ’Prevalens’ penyakit mental walaupun tidak serius namun membimbangkan kerana memberi kesan kepada produktiviti dan juga sumbangan kepada eknomi negara serta penggunaan khidmat perubatan dan kos yang tinggi untuk rawatan.

Sehubungan itu, kata Lajim, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencadangkan empat strategi utama untuk mengurangkan jurang perbezaan antara sumber dan keperluan untuk perawatan penyakit mental iaitu menambah dan membaikpulih maklumat mengenai kesihatan; penyakit mental yang digunakan untuk merancang sebarang pelan perawatan dan perkhidmatan; memupuk kesedaran tentang penyakit mental melalui promosi; perkongsian maklumat dan advokasi untuk rasa hormat yang lebih kepada hak asasi manusia dan mengurangkan stigma.

Di samping itu tambah Lajim, usaha menyediakan polisi dan membentuk perkhidmatan yang lebih berkesan dalam menangani penyakit mental ini juga diperlukan dengan membina kapasiti setempat untuk kajian kesihatan mental di negara miskin.

Dalam perkembangan yang sama, Lajim turut meminta semua pihak bersama-sama berganding bahu, menggembleng tenaga untuk menyumbang kepada pencegahan penyakit Mental di negara ini.

Katanya, tugas dan tanggungjawab pencegahan dan rawatan penyakit mental tidak seharusnya diletakkan di bahu Kementerian Kesihatan semata-mata, namun tiba masanya bagi semua pihak menyumbang bagi memberikan sokongan kepada pesakit mental di luar sana yang memerlukan perhatian dan sokongan

“Walaupun kita tidak mampu memberi sumbangan berbentuk wang ringgit, adalah memadai kiranya kita memberi sokongan moral dengan menerima pesakit-pesakit mental seperti masyarakat lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment