Friday, 28 October 2011

JAMBATAN MAUT SAMBUT LARIAN LASAK SEDUNIA?



PENGERUSI CLC N7 Kadamaian, Agnes Liewpin tidak dapat membayangkan betapa sengsaranya rakyat di Kampung Bundu Paka, Kadamaian, Kota Belud yang terpaksa menggadai nyawa melalui jambatan gantung maut semata-mata untuk meneruskan kehidupan dan mengeluarkan hasil pertanian mereka.

Agnes yang mengambil kesempatan melawat jambatan gantung Kg. Bundu Paka yang menuju ke sawah padi, kebun getah penduduk kampung dan juga Pusat Pelancongan Kilombun semasa mengadakan perjumpaan dengan ahli SAPP Cawangan Bundu Paka, Kota Belud, baru-baru ini.

Agnes yang diiringi oleh Ketua Cawangan, Bahingki Pandiling dimaklumkan bahawa jambatan gantung tersebut tidak diselenggara sejak dua tahun lalu sehingga sangat berbahaya kepada penduduk yang menggunakannya setiap hari.

Mengikut penjelasan Ketua Kampung, Singan, pihaknya telah membuat permohonan untuk membaiki jambatan gantung tersebut dengan semua pihak termasuk Pejabat Daerah Kota Belud, tetapi sehingga masa kini, tidak ada pihak yang tampil membantu.

Kata Singan lagi, pihaknya tidak mempunyai pilihan lain dan bertawakkal untuk melalui jambatan maut ini disebabkan tidak ada laluan lain yang boleh digunakan untuk ke kampung seberang.

"Jambatan gantung ini sangat penting kepada penduduk kampung yang menggunakannya setiap hari ke seberang sungai untuk mengusahakan tanah-tanah mereka. Bayangkan betapa sukarnya mereka mengeluarkan hasil sehingga terpaksa menggadai nyawa,” ujar Agnes yang turut memberanikan diri melalui jambatan maut berkenaan bagi merasaikan perasaan cemas penduduk kampung setiap hari.

Lagipun kata Agnes, Pusat Pelancongan Kilombun yang terletak di seberang sungai juga merupakan suatu tarikan pelancong luar negara bagi aktiviti Water Rafting.

“Kita dukacita kerana pada 5 November ini, suatu acara Larian Tahan Lasak Sedunia akan diadakan di Kg Lobong-Lobong dan akan menggunakan jambatan yang amat memalukan ini untuk menuju ke Pusat Pelancongan Kilombun,” kata Agnes yang berdoa agar tidak ada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku kepada peserta.

Agnes melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan kedaifan hidup penduduk kampung Bundu Paka dan mempersoalkan tindakan Wakil Rakyat Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan yang asyik memperjuangkan Empangan Tambatuon yang berharga RM450 juta, sebaliknya mengabaikan jambatan gantung yang berharga tidak sampai RM45,000.

No comments:

Post a Comment