Friday, 28 October 2011

GERAKAN DI SABAH HANYA UNTUK 'KATAK’?



Oleh : YONG MIN CHUNG

TINDAKAN Pengerusi Parti Gerakan Lahad Datu, Stanley Chin Yat Min melemparkan pelbagai tuduhan terhadap LDP melalui media dianggap sebagai ‘kencing dalam gelas sendiri’ kerana mencipta ruang kepada pembangkang untuk memecahkan perpaduan di dalam Barisan Nasional.

Timbalan Ketua Bahagian LDP Lahad Datu, Chong Su Vun menyifatkan serangan Stanley terhadapnya melalui akhbar tempatan sebagai tidak matang dan kebudak-budakan dan tidak patut dilayan oleh parti komponen BN di Silam.

“Siapa Stanley untuk bercakap soal prinsip BN? Dia ini Raja Katak. Dulu dalam SAPP, bila Gerakan masuk Sabah, dia terus melompat untuk mendapat pangkat dalam Gerakan dan menjadi pengacau dalam BN Silam,” ujar Chong yang mempertahankan pendiriannya yang menyokong kenyataan Datuk Ghapur Salleh, Datuk Lajim Haji Okin, Datuk V.K.Liew dan Datuk Teo Chee Kang berhubung bantahan pengagehan kerusi untuk Gerakan dalam pilihanraya umum akan datang.

Kata Chong, Stanley tidak patut melenting, sebaliknya cermin diri dengan melihat jasa dan nilai perjuangannya dalam BN, apatah lagi sikapnya yang suka mengambil kesempatan melalui jawatan Kapitan Cina dan Coop Majlis Daerah dan mempunyai masalah peribadi yang diketahui umum di Lahad Datu.

“Sebaiknya beliau menjalankan tugas sebagai Kapitan dan Pengerusi Parti Gerakan dengan sempurna dan tidak payah marah kepada parti komponen yang menyuarakan pandangan dan pendirian masing-masing berhubung partinya yang ditolak oleh rakyat Pulau Pinang,” kata Chong yang menyifatkan semua ADUN Gerakan di Sabah mengalami Sindrom Katak dan membelakangkan Semangat BN kerana mencuri ahli di kalangan komponen BN.

Kata Chong, memang agak sukar meneruskan perjuangan di dalam satu kumpulan jika ahli kumpulan itu suka menikam dari belakang dengan mencuri ahli parti dan menjadi gunting lipatan di dalam BN Sabah.

“Lebih baik mereka menumpukan usaha untuk merampas kembali Pulau Pinang daripada pembangkang daripada menjadi penyibuk di dalam politik Sabah. Lagipun Lahad Datu adalah kawasan UMNO dan jangan bermimpi mengambil alih kerusi Lahad Datu yang diperuntukan kepada UMNO,” kata Chong yang menyifatkan perbalahannya dengan Stanley hanya membuang masa, tetapi membuat kenyataan ini sebagai teguran yang membina kerana beliau mendengar khabar tembelang Stanley akan didedahkan pihak lawan.

Jika itu terjadi, maka kata Chong, Stanley menjadi beban kepada Parti Komponen BN untuk menentang pembangkang kerana sudah pastinya isu peribadi buruk Stanley dan skandalnya akan digunakan pembangkang untuk memancing undi.

No comments:

Post a Comment