Wednesday, 26 October 2011

UMNO JANGAN JADI BACUL!



Oleh: MEDIA PAS BATU SAPI

UMNO dicabar supaya bersikap ‘Anak Jantan’ dengan meletakkan pemimpin UMNO dari kalangan ‘Anak Tempatan’ Batu Sapi sebagai calon di kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen pada PRU 13 akan datang.

“Meletakkan seorang calon dari parti yang tidak sinonim dengan perjuangan Melayu seperti dicanangkan UMNO adalah tindakan bacul!” kata Yang Di Pertua Pas Batu Sapi, Haji Hamzah Hj. Abdullah.

Menurut beliau, tidak kiralah sama ada calon-calon yang UMNO hendak letakkan terdiri dari keturunan Bajau, Suluk, Sungai atau Bugis tetapi yang penting mereka rakyat Malaysia dan pemastaututin Batu Sapi.

“Saya menentang sekeras-kerasnya tindakan memperkecil serta mempertikaikan keturunan atau suku kaum seseorang warga Malaysia. Kita sewajarnya mengiktiraf mana-mana warga Malaysia, walau apa sekali keturunan mereka sebagai warga Malaysia yang mempunyai hak yang sama dengan kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Haji Hamzah.

Tegas Haji Hamzah lagi, sekarang ini, apabila bercakap soal keistimewaan Bumiputera, sebenarnya sudah tidak mempunyai apa-apa makna lagi kerana ‘Hak Istimewa’ apa yang mahu dibanggakan oleh kaum Bumiputera jika kampung halaman tempat tumpah darah mereka sudah dimiliki oleh Taukeh Cina dan hanya menunggu masa untuk diusir?

“Hak istimewa apa yang mau dibanggakan kalau hanya duduk dalam kampung setinggan dan rumah-rumah haram? Hak istimewa apa yang mau dibanggakan kalau tanah pertanian yang telah diusahakan puluhan tahun tiba-tiba dirampas oleh ‘Anak Negeri palsu’ lalu didalangi pula oleh polis yang mendapat habuan-habuan tertentu!,” soal Haji Hamzah dengan nada yang cukup kesal.

Kata Hamzah, kenapa tidak dipertikaikan status Ahli Parlimen Batu Sapi yang tiada kena mengena dengan hal ehwal masyarakat Batu Sapi? Bolehkah dia berperanan dengan berkesan sebagai wakil rakyat, sedangkan dia sendiri tidak fasih berbahasa Melayu?

“Beliau tidak dapat menghayati denyutan nadi rakyat Batu Sapi yang rata-rata hidup di bawah garis kemiskinan? Dulu, pemimpin UMNO juga yang kata bahawa PBS dan pemimpin-pemimpinnya adalah anti-Islam, kenapa persepsi itu berubah sekarang? Apakah kerana PBS sudah berada dalam BN, maka isu tersebut tidak perlu diungkit lagi? Apakah PBS sekarang ini sudah Pro-Islam?,” tanya Haji Hamzah dalam nada sinis.

Tegasnya lagi, beliau dimaklumkan oleh seorang Puteri UMNO bahawa Datin Linda Tsen menggunakan khidmat penterjemah (interpreter) setiap kali datang melawat Batu Sapi.

“Kenapa mesti guna khidmat penterjemah? Apakah Linda Tsen seorang warga asing maka mesti guna khidmat penterjemah? Apakah ini dia contoh pemimpin ‘patriotik’ yang dicanangkan Najib?” kata Haji Hamzah yang menjelaskan Orang Tionghua warga Indonesia pernah meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui warga Malaysia keturunan Cina masih ramai yang tidak fasih berbahasa Melayu.

Kata Haji Hamzah lagi, beliau sendiri pernah bertanya dengan beberapa orang warga Indonesia keturunan Tionghua dan mereka menegaskan bahawa bahasa pertuturan sesama mereka sendiri ialah dalam bahasa Indonesia.

“Mereka mengatakan bahawa jatidiri mereka sebagai warga Indonesia mesti dipertahankan dan bertutur dalam bahasa Indonesia adalah ciri-ciri jatidiri orang Indonesia!” jelas Haji Hamzah lagi.

Dalam hal ini kata Haji Hamzah, UMNO semestinya bertanya apakah benar wakil rakyat mereka sekarang ini mempunyai PR (Permanent Resident) Australia dan sebahagian besar masanya dihabiskan di Australia bersama anak-anaknya yang belajar dan bermastautin di sana?

“UMNO juga mesti bersikap jujur dan bertanya diri mereka apakah cukup dengan tradisi menghulurkan zink, beruti, tangki air, ikan sardin dan sekampit beras sekali dalam 5 tahun kepada masyarakat Batu Sapi untuk memancing undi dalam setiap kali pilihanraya diadakan?

“Kenapa tidak disediakan rumah-rumah PPRT dalam bentuk sebuah-sebuah sebagaimana yang dilaksanakan di zaman Datuk Harris Salleh seperti yang wujud di Taman Merpati dan Seri Taman? Kenapa bina rumah PPRT sampai 4 tingkat dengan bilik-bilik kecil serta suasana yang merimaskan, walhal Sabah mempunyai keluasan tanah yang cukup besar,” tanya Haji Hamzah.

Jika Kerajaan BN sanggup luluskan tanah seluas 30,000 ekar kepada taukeh dan kroni BN, mustahil tidak boleh peruntukan 30 ekar untuk dirikan 1,800 unit rumah-rumah PPRT ala Taman Merpati?” soal Haji Hamzah lagi yang membidas kegagalan pemimpin BN berfikir bagi memenuhi aspirasi rakyat.

Haji Hamzah selanjutnya mengajak rakyat Batu Sapi agar berani membuat perubahan besar dengan memilih calon dari Pakatan Rakyat pada PRU 13 akan datang. Kerana beliau yakin kemenangan calon Pakatan Rakyat di Batu Sapi akan mampu menyelamatkan kampung-kampung bumiputera daripada dirampas kroni BN.

No comments:

Post a Comment