Sunday 9 October 2011

ASTAKA HARUS LAHIR PEMAIN BERKALIBER



CENDERAHATI....Kelihatan Musa sedang menyampaikan cenderahati kepada salah seorang Ketua Regu Pasukan Sepak Takraw sambil diperhatikan Presiden MPS dan Presiden ASTAKA.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

KETUA Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman berkata, dalam usaha melahirkan pemain berkaliber dalam sukan sepak takraw, khususnya di negeri Sabah, kerajaan akan meluluskan pembinaan sebuah gelanggang sepak takraw di daerah Sandakan dengan tujuan untuk mempastikan pemain dapat meningkatkan mutu permainan mereka di persada dunia kesukanan.

Beliau berucap merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (ASTAKA) 2011 yang dilangsungkan di Dewan Masyarakat Sandakan, malam kelmarin.

Musa berkata, bagaimanapun kelulusan itu disusuli dengan syarat di mana kemudahan gelanggang sedemikian perlu dimenfaatkan sebaik mungkin oleh golongan belia bagi melahirkan jaguh sepak takraw di peringkat kebangsaan seterusnya di antarabangsa.

“Perlu saya tegaskan di sini, apabila gelanggang ini siap nanti jangan pula digunakan sekali sekali sahaja ataupun dalam erti kata lain hanya menjadi tempat persinggahan sahaja. Saya mahu ia digunakan dengan sebaik mungkin agar dapat melahirkan lebih ramai pemain tempatan untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” tegas Musa.

Selanjutnya Musa memberitahu bahawa perbincangan akan diadakan dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk mencari tapak yang sesuai dan selain itu mencari mana-mana pihak yang ingin memberikan sumbangan atau tajaan bagi pembinaan gelanggang tersebut.

“Saya mahu melihat lebih ramai lagi pemain Sabah menjadi wakil negara ke pertandingan di peringkat antarabangsa, sambil menyatakan dengan kehadiran regu Thailand yang sememangnya jaguh dalam sukan sepak takraw. Lantas pemain tempatan perlu merebut peluang ini untuk menimba pengamalam dan skil yang boleh membantu memperbaiki mutu permainan,” ujarnya.

Dalam perlawanan itu, lapan (8) pasukan termasuk Beluran, Tawau, Sandakan, Pedalaman Atas, Pedalaman Bawah, Pantai Barat Selatan dan SUKMA juga turut menyertai kejohanan tersebut.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Suzannah Liaw; Presiden ASTAKA Datuk Hj Awang Sham Awang Amit dan Presiden MPS, Datuk James Wong.

No comments:

Post a Comment