Sunday 23 October 2011

GERAKAN TIDAK SESUAI BERTANDING DI SABAH




TAHNIAH…Lajim diiringi oleh Penolong Ketua Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan dan Penyelamat dan Pengarah Bomba Sabah Nordin Pauzi ketika menyampaikan Pingat Kebesaran Jabatan Bomba kepada salah seorang anggota penerima di majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

KEPIMPINAN Barisan Nasional (BN) peringkat Pusat dan Negeri perlu mengkaji secara mendalam isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kalabakan berhubung hasrat parti Gerakan bertanding di Sabah.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, apa yang diutarakan Datuk Abdul Ghapur itu ada kebenarannya dan ia tidak harus dipandang ringan oleh pucuk kepimpinan BN.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Pingkat Kebesaran Jabatan, Anugerah Khidmat Cemerlang dan Konvensyen KIK dan Sijil Persaraan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu pada pagi kelmarin.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata demikian ketika diminta mengulas komen Datuk Abdul Ghapur semasa membahaskan Bajet 2012, Isnin lalu yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tidak meletakkan calon dari parti Gerakan di Sabah pada pilihan raya umum akan datang.

Lajim berpendapat apa yang dimaksudkan oleh Abdul Ghapur dalam kenyataan tersebut, terdapat parti kompenan BN di Sabah yang mampu mewakili masyarakat Cina seperti LDP, MCA termasuk PBS.

Tambahnya, Gerakan sepatutnya memberi tumpuan di Semenanjung khususnya Pulau Pinang supaya dapat menyumbang kemenangan BN.

Beliau berkata, ketika ini banyak parti kompenan BN di Sabah yang boleh mewakili suara dan membela kebajikan rakyat Sabah serta berupaya memastikan kemenangan BN seperti yang dibuktikan pada pilihan raya 2008.

Lajim yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort berkata, sekiranya isu itu tidak ditangani dengan baik, apabila tiba masa pemilihan, keadaan bercelaru akan timbul dan menyukarkan kepimpinan peringkat negeri dan pusat dalam soal pembahagian kerusi dalam kalangan kompenan BN.

“Ini tidak akan menjernihkan hubungan antara parti kompenan BN dan keadaan ini secara tidak langsung akan meninbulkan masalah pada pilihan raya akan datang” katanya

Lajim menambah, beliau tidak mengatakan bahawa calon Gerakan tidak boleh bertanding kerana itu adalah hak mereka. Bagaimanapun dalam soal hubungan yang besar, Gerakan harus berfikir agar tidak berlaku ketidakseimbangan dalam hubungan dalam kompenan BN.

Baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen Libaran, Datuk Akbar Khan Abdul Rahman berkata, kepimpinan BN di Sabah bertanggungjawab untuk mendengar padangan daripada akar umbi dari setiap sudut.

Katanya, walaupun sukar untuk diterima, adalah wajar supaya isu-isu seperti yang ditimbulkan oleh Datuk Abdul Ghapur mengenai Gerakan itu diambil secara positif dalam perspektif yang lebih luas.

No comments:

Post a Comment