Thursday 27 October 2011

HORMATI PELANTIKAN KETUA MENTERI



TIMBALAN Ketua Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menggesa parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) mengamalkan politik penyesuaian dan menghormati keputusan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berhubung pelantikan politik, khususnya anggota Kabinet negeri.

Dalam membuat lantikan, beliau berkata Musa mengambil kira semua faktor termasuk perubahan landskap politik di negara ini dan merundingi rakan-rakan untuk memastikan setiap komuniti diwakili selaras dengan amalan perkongsian kuasa tulen.

"Musa turut memberi taklimat kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengenai keputusan-keputusan besar dan mendapatkan restu beliau. Ketua Menteri memerlukan pasukan yang boleh bekerja bersama-sama dalam Kabinet untuk memandu Sabah menuju masa depan lebih baik.

"Sekiranya kita menghadapi sebarang perbezaan pendapat, kita patut membincangkannya mengikut saluran yang betul dan pintu sentiasa terbuka. Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, Barisan Nasional sentiasa mengamalkan formula perkongsian kuasa," katanya kepada Bernama, di Kota Kinabalu.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri, mengulas gesaan beberapa pemimpin BN negeri, termasuk daripada Parti Liberal Demokratik (LDP), supaya Gerakan menumpukan usaha untuk memenangi kerusi bagi BN di Semenanjung daripada meletakkan calon di Sabah.

Beberapa pemimpin berkenaan turut dipetik sebagai berkata pemimpin-pemimpin Gerakan di Sabah, yang memegang jawatan menteri dalam Kabinet negeri, memperolehnya ‘secara teknikal’ dan bukannya daripada sokongan rakyat.

Salleh berkata; "Kita tidak sepatutnya mentafsirkan pelantikan oleh Ketua Menteri secara sempit. Tidak wujud keadaan di mana jawatan tertentu diperuntukkan untuk ‘parti tertentu’ dan malahan pada satu masa dahulu jawatan Ketua Menteri Sabah digilirkan".

"Semua pemimpin BN mempunyai peranan untuk dimainkan dan menyumbang bakti kepada rakyat dan memperkukuhkan parti. Kita sepatutnya menumpukan usaha untuk memenangi hati dan minda rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment