Tuesday 4 October 2011

MUSA PUJI SELARASKAN ETP DENGAN SDC



KETUA Menteri Datuk Seri Musa Aman Selasa mengalu-alukan inisiatif yang diambil oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) untuk menjajarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan initiatif lain negeri seperti Koridor Pembangunan Sabah dan Halatuju negeri.

"Ini jelas menunjukkan betapa seriusnya kerajaan persekutuan, terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan yang Sabah tidak ketinggalan ke belakang dalam usaha meningkatkan tahap pendapatan kita dan mencapai wawasan menjadi negara berpendapatan tinggi," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri taklimat oleh PEMANDU di sini, selasa.

Musa berkata yang beliau memantau secara dekat perkembangan dan mendapatkan maklum balas mengenai program di Makmal Bandar dan Koridor Sabah, yang dikendalikan sebagai sebahagian daripada ETP oleh PEMANDU.

Makmal itu kini sedang dilaksanakan dan akan dimuktamadkan pada akhir Oktober ini.

Di bawah program ETP, antara inisiatif penting untuk meningkatkan pendapatan negara ialah penambahbaikan industri minyak dan gas.

"Justeru itu, saya ingin menggesa agar Petronas dan semua pihak yang prihatin untuk memastikan peluang yang cukup tersedia untuk warga tempatan berkelayakan menyertai secara langsung dalam industri, mendapat kontrak dan yang paling penting mewujudkan peluang pekerjaan dan permulaan ekonomi untuk penduduk di Sabah," kata beliau.

Musa berkata ini adalah untuk memastikan warga Sabah bukan setakat sebagai ‘pemerhati’ kepada pembangunan yang mengambil tempat di negeri itu.

"Kami tidak mahu warga Sabah ketinggalan dalam aktiviti ekonomi hiliran terutamanya dalam sektor minyak dan gas.

"Saya yakin yang Petronas akan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada permintaan kerajaan negeri untuk penyertaan tempatan dan syarikat minyak negara itu berkedudukan baik untuk menerajui penglibatan syarikat-syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas negeri itu," tambah beliau. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment