Sunday 2 October 2011

NYAWA BEKAS TEMAN LELAKI KARTINI DALAM BAHAYA?



Oleh : MUTALIB M.D

NYAWA bekas teman lelaki Kartini Binti Borhan, Ah Heng kini dalam bahaya setelah beliau enggan mengaku bertanggung jawab terhadap kematian Kartini sekalipun didesak oleh Polis Keningau yang menyoal siasat beliau baru-baru ini.

Ah Heng yang menghubungi Sabahkini.net pada jam 2.30 pagi tadi memaklumkan beberapa buah kenderaan berlalu lalang dan berhenti di hadapan rumahnya; beberapa lelaki menunggu di luar kenderaan memerhati rumah beliau sehingga menyebabkan beliau terpaksa mematikan semua lampu dan mengunci semua tingkap kerana bimbang diserang secara mengejut.

“Saya sayang Kartini. Saya kesal dia mati. Memang dia kena bunuh oleh orang yang kenal dia, kerana ada orang nampak ada kereta ambil dia di rumah, bukan kena rompak,” kata Ah Heng yang bimbang keselamatannya akibat menjadi sasaran kumpulan pembunuh Kartini.

Ketika ditanya kenapa beliau tidak menghubungi Balai Polis Keningau, beliau berkata tidak percaya Polis Keningau lagi setelah beliau didera agar mengaku bertanggung jawab di atas kematian Kartini.

“Kalau jadi apa-apa sama saya, mesti perbuatan seorang pegawai polis yang pernah menjadi teman lelakinya atau kumpulannya,” kata Ah Heng yang merayu agar Ketua Polis Negara melindungi beliau daripada Kumpulan Kongsi Gelap dan Mafia yang berselindung di sebalik uniform di Keningau.

Dalam pada itu, bapa Kartini, Borhan ketika dihubungi berkata, beliau tidak akan berdiam diri dan akan membawa kes kematian mengenjut anaknya ke mahkamah.

“Ini bukan kes rompakan tetapi dibunuh oleh orang yang rapat dengannya dan saya akan memohon inkues dengan segera. Kematian anak saya harus dibela,” ujar Borhan yang menahan sebak kerana sedih dengan kematian anaknya akibat perbuatan pihak berkuasa yang menyalahguna kuasa dan melakukan jenayah memadam bukti kes.

No comments:

Post a Comment