Tuesday 11 October 2011

PKR MULA GEMPUR BN DI BATU SAPI

TERIMA....Haji Ansari sedang menerima borang kemasukan 300 orang ahli BN yang diketuai Sait Bulahau. Gambar sisipan Zainuddin Hassan.

Oleh : HAFIZ JAMAIL

MESYUARAT Agung Tahunan Cabang Batu Sapi baru-baru ini telah mengejutkan banyak pihak ekoran kemasukan 300 ahli Barisan Nasional, majoritinya ahli UMNO ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika pilihanraya berada di ambang pintu.

Kemasukan mereka diterima oleh Wakil Majlis Presiden PKR Sabah, Haji Ansari Abdullah yang diketuai oleh Sait Bin Bulahau daripada Tronglit (50 ahli); Awi Bin Noor daripada Trongliman (50 ahli); Wahab Bin Kuala daripada Kg Sirabuat (41 ahli); Malang Noor daripada Kg Api-Api (50 ahli); Mazlan Pindik daripada Kg Bambangan (69 ahli) dan Dani a/k Ganggai daripada Kg Gas Baru (50 ahli).

Dengan kemasukan 300 ahli baru ini, PKR telah berjaya menubuhkan enam cabang baru di kampung seperti yang disebutkan hasil daripada kerja keras turun padang memberi penjelasan misi dan visi PKR, sekalipun calon PKR tewas pada pilihanraya kecil Batu Sapi tahun lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cabang PKR Batu Sapi, Zainuddin Hassan ketika memberi ucapan selaku Pengerusi Penganjur Perasmian MATC bersama pada 9 Oktober 2011, telah menegur sikap Kerajaan Barisan Nasional agar jangan melunakkan rakyat dan terus berbohong berhubung Bajet 2012 yang sinonim dengan Bajet Gula-Gula Getah (Chewing Gum).

“Dalam Bajet 2011, Perdana Menteri telah mengumumkan kononnya yuran sekolah di seluruh Malaysia dimansuhkan. Hakikatnya masih ada lagi rakyat tidak mampu melanjutkan persekolahan disebabkan faktor kemiskinan kerana sekolah masih memungut pelbagai yuran untuk menampung pelbagai aktiviti yang menyusahkan pelajar dan rakyat miskin,” kata Zainuddin yang menjelaskan kedaifan penduduk Batu Sapi begitu ketara.

Bajet 2012, kata Zainuddin adalah ‘Bajet Rasuah’ untuk menyenangkan hati rakyat agar terus memberikan undi kepada BN pada Pilihanraya Umum akan datang, sedangkan pada hakikatnya pengumuman bajet itu hanya memperbodohkan rakyat; hanya enak didengar, tetapi sukar dilaksanakan dalam kemelesetan ekonomi sekarang.

“Sepatutnya PM menyahut cabaran Bajet Pakatan Rakyat agar perbelanjaan elaun PM dan semua menteri dikurangkan dan bukannya dinaikkan sehingga membazir wang rakyat sebanyak RM600 bilion,” kata Zainuddin yang kesal kerana kerajaan menjadikan simpanan rakyat dalam KWSP, ASB, SOSCO sebagai sasaran dana kerana terus membentangkan belanjawan defisit.

Tambah Zainuddin lagi, sewajarnya kerajaan berhenti memperbodohkan rakyat dan jika tidak mampu lagi mentadbir Malaysia, sebaiknya meletakkan jawatan atau membubarkan parlimen.

Tanda kebodohan pemimpin BN kata Zainuddin, boleh dilihat dengan jelas di Sabah kerana sebagai sebuah negeri yang kaya dengan khazanah alam semula jadi dan hasil masyhul di Malaysia, kini berada di tangga tercorot iaitu ke 13 daripada 13 buah negeri (Wilayah Persekutuan tidak diambil kira) di Malaysia.

“Elaun YB-YB di Sabah, baru RM5,000 sebulan; tetapi kekayaan mereka melebihi Sultan. Ada juga YB yang ber’Sultan’ di mata dan beraja di hati seperti Sultan Zakaria Edris iaitu ADUN Gum Gum kerana mengkebumikan jenazah saudaranya di kiblat Masjid Gum Gum. Setelah kita tegur berkali-kali barulah dipindahkan,” kata Zainuddin yang kesal kerana Mufti Sabah seperti ‘Terompah Kayu’.

No comments:

Post a Comment