Monday 24 October 2011

PROJEK GAS SEPERTI PLUS


PROJEK saluran gas merentasi Kimanis di Sabah ke Bintulu di Sarawak bernilai RM4.6 bilion yang dijangka siap penghujung 2013 akan membuahkan kejayaan seperti Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang menghubungi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, menurut seorang profesor dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Prof Dr Jayum Jawan, Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, berkata saluran sepanjang 512km yang akan menyalurkan gas dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis ke pelbagai pelanggan di Sabah dan Kompleks Gas Asli Cecair (LNG) Petronas di Bintulu itu adalah contoh terbaik satu projek nasional yang akan merapatkan pelbagai peringkat rakyat dan komuniti perniagaan di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.

"Ia satu usaha yang saya rasa menepati konsep yang selalu kita hendak majukan iaitu integrasi nasional dan perpaduan antara wilayah. Projek ini bakal memenuhi matlamat-matlamat ini," katanya dalam satu temuramah dengan Bernama.

Dr Jayum yang berasal dari Sarawak berkata perbandingan projek gas tersebut dengan Lebuhraya PLUS adalah satu ’analogi yang bagus’ kerana ia bakal membuka peluang yang begitu luas dalam bidang sosio-ekonomi.

"Saya melihat projek saluran gas ini memang tepat semacam lebuh raya untuk menggiatkan lagi pembangunan dan menghubungi pelbagai wilayah di Sarawak dan Sabah. Pendek kata, ia akan merapatkan pelbagai komuniti yang dilalui oleh saluran gas yang panjang itu," katanya.

Dr Jayum juga berkata adalah wajar aktiviti Petronas di Sarawak dilihat dari pendekatan yang lebih holistik daripada semata-mata dari sudut isu royalti lima peratus setahun yang dibayar oleh syarikat petroleum nasional itu kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata selain daripada mendapat royalti lima peratus, Sarawak juga memperolehi pelaburan secara langsung apabila berlaku penemuan lapangan minyak dan gas baru di samping sumbangan besar Petronas terhadap pembangunan sumber manusia untuk membangun sumber minyak dan gas berkenaan.

"Jadi, kadang-kadang bila ada sesetengah pihak menuntut royalti yang lebih tinggi, seolah-olah mereka tidak dapat melihat sumbangan Petronas di tempat lain seperti pembangunan ekonomi secara langsung yang dilakukannya kerana terjumpanya sumber-sumber baru seperti itu.

"Kalau kita darabkan semua ini, kita ambil kira semua ini, ia lebih daripada lima peratus," tambahnya.

Dr Jayum juga berkata oleh kerana petroleum dan gas merupakan bidang yang amat kompetitif yang memerlukan kemahiran yang khusus, Petronas dan juga kerajaan negeri Sarawak perlu menyediakan tenaga manusia bagi menghadapi cabaran bekerja dalam bidang itu.

"Kita faham bahawa Petronas sebagai sebuah syarikat mementingkan misalnya soal meritokrasi semata-mata. Ia tidak terikat dengan kekangan politik atau lain-lain.

"Tetapi kadang-kadang di negeri majmuk macam kita ini, kita perlu melibatkan sebanyak mungkin etnik-etnik pelbagai golongan dan negeri untuk memuaskan hati semua pihak," kata Dr Jayum.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Petronas di samping menyediakan peluang-peluang pekerjaan di peringkat bawahan, juga melatih rakyat Sarawak untuk peringkat pengurusan.

"Dari semasa ke semasa, kita terdengar seruan minta dilibatkan orang Sarawak di peringkat pengurusan tertinggi. Mungkin ini yang perlu difikirkan oleh pengurusan Petronas bagaimana hendak memberi peluang kepada orang Sarawak yang juga merupakan sumber utama yang dibangunkan oleh syarikat berkenaan," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment