Sunday 23 October 2011

RAKYAT SABAH TRAUMA RAMPASAN TANAH ADAT



By : JOHN STEPHEN DIONYSIUS

TANAH merupakan nadi dan berkait rapat dengan kehidupan masyarakat etnik bumiputera Sabah. Namun kehidupan ini semakin lama semakin terhakis dan menjadi satu mimpi dan igauan ngeri terhadap masa depan generasi anak watan Sabah tulen yang bergantung hidup pada tanah.

Keadaan ini disebabkan kejadian rampasan tanah yang semakin berleluasa oleh pihak berkepentingan dalam ketamakan mengaut keuntungan tanpa menghiraukan keperitan yang ditanggung oleh kaum etnik bumiputera.

Pada 19 Oktober 2011, Pemuda SAPP dibantu oleh SabahTV telah membuat liputan mengenai satu kes rampasan tanah yang berlaku di Kg Sukau, Kinabatangan yang melibatkan suku kaum Orang Sungai setelah kes telah dibawa ke Mahkamah Tinggi, Sandakan untuk dibicarakan.

Menurut Wakil penduduk suku kaum Orang Sungai, Katiff Bin Kussoi, semasa ditemubual, Kg. Sukau telah dibuka pada tahun 1988 dan mendapat persetujuan dan galakan daripada Pemungut Hasil Tanah, Jabatan Tanah dan Ukur yang melibatkan 30 buah keluarga dan pada tahun 1990 pemohonan tanah telah dibuat oleh penduduk setelah dipindahkan daripada tebing Sg.Kinabatangan.

Namun setelah 10 tahun menunggu, permohonan tanah mereka yang melibatkan seluas 191.60 hektar (473.50 ekar) telah ditolak oleh Jabatan Tanah bertarikh 8 November 2000 tanpa alasan yang kukuh.

Sebaliknya, tanpa diketahui, geran tanah telah dikeluarkan kepada sebuah syarikat tempatan pada 11 April 2002 yang pada asalnya pemohonan syarikat tersebut juga telah ditolak.

RESIT…… Resit Bayaran Permohonan Tanah

DITOLAK….. Permohonan tanah penduduk Orang Sungai juga ditolak.

GERAN….. Geran Tanah dikeluarkan kepada Syarikat Tempatan CL 095333378.

“Bagaimana geran tanah boleh dikeluarkan oleh Pejabat Tanah memandangkan permohonan tanah syarikat tersebut juga telah ditolak mengikut laporan penyiasatan tanah yang dibuat setelah pemohonan kami dibuat dari awal lagi”, ujar Katiff dengan nada marah dan merasa terkilan.

SAGUHATI….. Baucer Bayaran ‘Sagu Hati’.

“Selama ini Orang Sungai merupakan penduduk awal yang membuka kawasan tanah dengan kelulusan Pejabat Tanah. Tetapi secara tiba-tiba geran telah dikeluarkan kepada syarikat tersebut dan kami telah diugut dan diusir dari tanah kami. Malahan tujuh individu orang kampung telah ditangkap dan telah menjalani hukuman penjara selama 2 minggu dan dipaksa menerima wang sagu hati sebanyak RM5,000 sebagai balasan keluar daripada tanah adat kami kerana dikatakan menghina perintah mahkamah,” tambah beliau lagi.

Penduduk Kg. Sukau, berbangsa Orang Sungai melalui kenyataan bertulis yang ditunjukkan mengatakan bahawa mereka tidak akan berganjak daripada tanah adat mereka walaupun didesak oleh mahkamah kerana berpendapat dan akur dasar-dasar kerajaan yang mengutamakan orang yang tidak bertanah dipraktikkan kerana mereka bergantung hidup hasil pertanian sawit sebagai sumber pendapatan untuk kesinambungan generasi mereka.

BERTULIS….. Kenyataan bertulis orang kampung.

Menurut Wakil Rakyat Sukau, Saddi Abdul Rahman melalui kenyataan akhbarnya sebelum ini telah mengatakan bahawa kes tanah yang melibatkan penduduk Orang Sungai, Kg Sukau telah selesai tetapi disangkal oleh penduduk kampung sebagai menutup berita daripada pengetahuan umum.

Bagaimanapun, proses perundangan masih lagi berjalan sehingga sekarang semasa berita ini dilaporkan dan diharap pembelaan kes ini dibuat secara adil.

September lalu, Pemuda SAPP juga telah membuat liputan berita mengenai rampasan tanah yang berlaku terhadap Orang Murut, Serudong Ulu, Kalabakan yang melibatkan tanah seluas 4,000 ekar oleh syarikat kelapa sawit.

Bukan sahaja itu, rampasan tanah juga berlaku di kawasan Tongod, Kudat, Pitas, Banggi dan tempat- tempat lain di Sabah yang tidak mengira kawasan yang melibatkan keluasan kecil sehinggalah ke ratus ribu ekar. Fenomena rampasan tanah yang berlaku berleluasa di Sabah telah mengancam kehidupan harian setiap masyarakat etnik bumputera dan ini memberi satu situasi kebimbangan sama ada tanah mereka akan selamat daripada segala pencerobohan yang tidak diketahui dan didalangi oleh pihak tertentu.

Laporan SUHAKAM mengatakan terdapat 1,000 aduan berkenaan tanah telah diterima dan daripada jumlah tersebut 824 kes adalah daripada negeri Sabah iaitu satu jumlah kes yang besar dan serius berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Rampasan tanah berlaku dikatakan mempunyai hubungkait dengan situasi politik dan kehilangan hak-hak tanah kepada masyarakat etnik bumiputera Sabah turut menambah kepada peningkatan statistik kemiskinan di Sabah disebabkan hilang sumber pendapatan isi keluarga dalam menyara kehidupan harian kerana 40% kemiskinan adalah kaum bumiputera yang telah dilaporkan oleh Bank Dunia.

Turut serta dalam membuat liputan berita ini ialah Pengerusi SAPP CLC Sekong Haji Abdul Rasyid Mutalip, Pegawai Perhubungan SAPP Karamunting Haji Jaafar Juana, Pegawai Penerangan SAPP Sekong Haji Aprin Bin Musin dan juga Exco Pemuda SAPP Pusat John Stephen.

No comments:

Post a Comment