Saturday 29 October 2011

TYT RACUNI KANAK-KANAK TAMBISAN?


PRIHATIN....Sejak zaman kecil, TYT menyayangi kanak-kanak tetapi kenapa merestui KKLW menzalimi kanak-kanak?

Oleh : MUTALIB M.D

ADAKAH Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun JUhar Mahiruddin terlibat dengan lambakan bateri asid plumbum yang diseludup masuk secara haram ke Malaysia dari Jerman untuk kegunaan Sistem Solar Hibrid Tambisan Darat/Laut yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) atau tidak?

Jika tidak, beliau sewajarnya membantah dan menghentikan penggunaan bateri asid plumbum di tanah tumpah darah beliau (Tambisan) kerana logam berat ini telah menyebabkan banyak kematian di China dan penderitaan (kecacatan mental dan fizikal) berjuta kanak-kanak di seluruh dunia.

Dengan maklumat yang berada di hujung jari, mustahil bagi Juhar yang melancarkan Transformasi Tambisan, tidak mengetahui bahawa plumbum yang terkandung di dalam bateri berkenaan berbahaya kerana pendedahan telah dibuat secara meluas, malah diharamkan dijual di negara pengeluar bateri berkenaan, Jerman?

Sabahkini.net yang mendapat maklumat daripada penduduk Tambisan segera bergegas ke Tambisan untuk melakukan tinjauan rambang dan mendapati dakwaan penduduk kampung Tambisan adalah benar.

Tinjauan Sabahkini.net mendapati Stesen BELB Tambisan Darat ini mempunyai 336 bateri yang mempunyai plumbum seberat 100 kilogram setiap satu atau 33.6 metrik tan plumbum.

SIAP.....Panel solar sudah siap dipasang di Tapak Stesen Janakuasa Hibrid Tambisan.

Ketika tinjauan dibuat, semua bateri asid plumbum jenis Hoppecke buatan Jerman telah siap dipasang di stesen yang sedang dalam pembinaan tetapi belum dimasukkan asid sulfuric; manakala semua solar panel telah siap dipasang dan hanya memerlukan sedikit pendawaian.

Dua buah janakuasa berkapasiti 200 kW setiap satu sudah siap dipasang, namun pendawaian belum disiapkan sepenuhnya, sebaliknya sebuah tangki minyak 18,000 liter telah boleh digunakan.

Mungkin Ketua Audit Negara dan Ketua Setiausaha Negara dan Menteri Kewangan terpaksa dan semua ahli parlimen Malaysia, termasuk Perdana Menteri akan didesak meletakkan jawatan kerana apa rasionalnya membelanjakan RM130,000 bagi setiap rumah untuk membekalkan elektrik solar sedangkan dengan kos yang sama boleh membina sebuah rumah bungalow yang dilengkapi dengan sistem solar standalone?

Pembayar cukai akan tertanya-tanya kenapa Kerajaan membelanjakan puluhan juta ringgit untuk membeli akuarium kaca semata-mata untuk memaksa penduduk kampung menternak ikan masin yang sudah tidak bernyawa lagi?

Rumah penduduk kampung yang bernilai antara RM2,000 sehingga RM30,000 mempunyai Sistem Solar Hibrid yang bernilai RM130,000? Inikah belanjawan berimbang dan Transformasi kewangan yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib melalui NKRA dan Bajet 2012?

Walaupun tidak ada sebarang papantanda didirikan, namun menurut maklumat penduduk Kampung Tambisan, projek berkenaan dilaksanakan oleh Kinabalu Power Sdn.Bhd dengan kos dianggarkan melebihi RM28.21 juta (kes keseluruhan RM40.52 juta bagi empat kampung).

ZALIM.... Apalah ertinya kepada pemilik rumah ini yang nilainya tidak sampai RM2,000 tetapi memiliki sistem elektrik solar bernilai RM130,000?

Bagaimanapun tidak ada seorang wakil Kinabalu Power Sdn. Bhd.dilokasi pembinaan dan percubaan untuk menghubungi kedua-dua Pengarah syarikat Dorin E Emin @ Doreen Edmund dan Mohd Yusof Bin Kahar juga gagal kerana semua kerja dilaksanakan oleh beberapa Sub-Kontraktor yang dilantik.

Menurut siasatan Sabahkini.net, Kerajaan Persekutuan di bawah tempoh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi tempoh 2010 sehingga 2012 telah mensasarkan untuk mencapai liputan 90% bekalan elektrik 24 jam di negeri Sabah.

Bagi mencapai sasaran ini, sejumlah 56,700 buah rumah perlu diberi bekalan elektrik di Sabah iaitu 4,540 buah rumah atau 8% daripada keseluruhan rumah tersebut akan dibekalkan bekalan elektrik menggunakan kaedah alternatif solar hybrid; manakala bakinya 52,160 buah rumah iaitu 92% akan disambung bekalan elektrik 24 jam menggunakan sambungan talian grid.

Buat masa ini KKLW hanya meluluskan pelaksanaan Projek BELB alternatif menggunakan sistem solar hibrid kerana pelaksanaan BELB secara solar standalone tidak diluluskan disebabkan menghadapi masalah sikap pengguna yang sering merosakkan sistem berkenaan.

Sistem solar hibrid ini adalah lebih baik berbanding sistem solar standalone serta set generator sel. Sistem solar hibrid sebenarnya merupakan kombinasi sistem solar bateri dan set generator diesel. Sistem ini boleh beroperasi selama 24 jam berbanding sistem solar standalone yang boleh beroperasi di antara empat jam ke 12 jam, manakala set generator set pula beroperasi selama 12 jam.

Pengguna sistem solar hibrid akan dikenakan bayaran bil penggunaan elektrik seperti juga sistem talian grid. Sehingga kini KKLW telah melaksanakan sembilan projek solar hibrid di negeri Sabah melibatkan 22 buah kampung dan telah memberi manfaat kepada 1,861 buah rumah.

Sejak Mei 2010, KKLW telah memulakan pelaksanaan empat projek solar hibrid di Sabah iaitu dua projek di Kinabatangan iaitu Kampung Tindun Wahangin dan Kampung Tidung; manakala dua projek lagi di daerah Lahad Datu iaitu Kampung Tambisan Laut dan Kampung Tambisan Darat.

Apabila siap, projek solar hibrid ini akan memberi bekalan elektrik kepada 217 buah rumah, tanpa sebarang kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar.

KKLW mengetahui bahawa kos melaksanakan projek bekalan elektrik secara solar hibrid lebih mahal berbanding talian grid kerana secara puratanya kos untuk sebuah rumah bagi talian grid ialah RM50 ribu di Sabah, manakala bagi sistem solar hibrid adalah RM130 ribu bagi sebuah rumah.

Namun KKLW tetap melaksanakan projek solar hybrid di kawasan talian grid tidak dapat dilaksanakan demi keselesaan penduduk kampung, sekalipun perbezaan harga Grid dengan Solar Hibrid lebih kurang RM80 ribu, namun sebagai halwa telinga, KKLW mendakwa kerajaan Barisan Nasional ini masih meletakkan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Solar Hibrid Kampung Tambisan Darat dan Kampung Tambisan Laut yang mula dibina 1 Julai 2010 dijangka siap pada Januari 2012.

Setelah projek ini siap dan mula beroperasi, apakah TYT boleh tidur lena di Istana yang menggunakan warna diraja, tetapi diharamkan kepada penyokong Bersih (warna Kuning), ketika bateri asid plumbum meracuni seluruh penduduk Tambisan termasuk sanak saudara TYT yang masih dibelenggu kemiskinan?

Bukankah terdapat bateri mesra alam yang dibuat di Malaysia untuk pasaran dunia yang boleh digunakan dalam projek ini, tetapi kenapa Kerajaan BN masih berbangga dengan dosa-dosa melakukan kezaliman meracuni kanak-kanak?

Inikah harga yang terpaksa dibayar oleh Penduduk Tambisan setelah mengundi Kerajaan Barisan Nasional dan melonjakkan anak kelahiran kampung ini sebagai TYT? Betapa mahalnya harga sebuah pembangunan ‘olok-olok’ di Sabah dan lebih mahal lagi jika TYT terpaksa mengorbankan rakyatnya semata-mata untuk mengisi tembolok Menteri KKLW yang melunaki projek untuk kroni sekalipun terpaksa meracuni kanak-kanak yang tidak berdosa! TAHNIAH!

(NOTA : Penulis pernah bertugas di Jabatan Audit Negara Malaysia selama 10 tahun dalam bidang Pengauditan Projek).

1 comment:

  1. Saya amat benci dgn dunia politiK.TYT dan segala pemimpin disabah ini brtindak sesuka hati mereka sahaja tanpa menghiraukan soal hidup mati rakyat sabah.Mereka sembelih org sabah hidup2!!!

    ReplyDelete