Monday 24 October 2011

UMNO SANDAKAN TURUT BIDAS MPS


WAWANCARA....Tan Seri Ampong sedang di temubual oleh Wartawan Kanan Sabahkini.Net berhubung isu air Taman Mesra.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

KETUA UMNO Bahagian Sandakan, Tan Sri Haji Ampong Hj Puyon melahirkan rasa kesalnya terhadap Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) berhubung tindakan mengenakan caj air sesuka hati kepada seramai lebih 1,000 penduduk Taman Mesra, Sandakan.

Ampong berkata demikian ketika diminta mengulas satu kenyataan yang tersiar di Sabahkini.Net pada 16 Oktober lalu yang bertajuk ‘MPS Mengenakan Caj Air Sesuka Hati.’

“Saya sudah lama mengetahui hal ini kerana ramai penduduk di taman berkenaan sering mengadu mengenai isu caj bil air yang dikenakan kepada mereka tidak mengikut bacaan meter yang dipasang Jabatan Air,” ujarnya.

Ampong menyifatkan tindakan MPS kepada penduduk terbabit sebagai satu sabotaj dan menyusahkan rakyat setempat, terutama sekali kepada golongan yang berpendapatan rendah sehingga membebankan mereka.

Bercakap kepada Sabahkini.Net, semasa menghadiri program Gotong Royong anjuran pejabat ADUN Elopura di Taman Mesra pagi kelmarin yang bertemakan ‘I Love Elopura’; Ampong berkata pihaknya (UMNO) tidak akan berdiam diri di atas perilaku MPS kerana ini akan menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ampong berjanji akan membawa perkara ini ke meja perundingan dengan Presiden MPS, Datuk Ir James Wong bagi mencari formula terbaik untuk menyelesaikan masalah yang amat memalukan ini.

Dalam perkembangan lain Ampong memuji program Gotong Royong anjuran Parti Gerakan yang diketuai sendiri ADUN Elopura Au kam Wah ini merupakan satu altenatif pendekatan rakyat dengan pemimpin supaya hubungan lebih mesra lagi.

“Hubungan UMNO Bahagian Sandakan dengan parti GERAKAN Elopura tiada timbul sebarang masalah. Kami memang sentiasa bekerjasama dengan ADUN Elopura apa saja program yang membabitkan BN kita saling hadir menghadiri ini memang sudah menjadi kewajipan dan konsep rakan dalam kelompok parti Barisan Nasional,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment