Monday 10 October 2011

V.K.LIEW SOKONG TINDAKAN PEMANTAUAN SESB



WAWANCARA....Liew sedang diwawancara Wartawan Kanan Sabahkini.Net.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menyokong tindakan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang akan memperketat dan memperhebatkan rondaan pemantauan dengan bantuan pihak Polis di beberapa kawasan perumahan setinggan yang telah dikenali pasti terlibat dengan penyambungan haram elektrik, khususnya di kawasan Elopura dan kawasan lain di daerah Sandakan.

Katanya, aktiviti penyambungan elektrik secara haram tidak boleh dipandang ringan kerana satu jenayah yang wajar dicegah secara bersama dengan memberi maklumat kepada pihak Polis ataupun SESB dengan segera.

“Kita faham mereka terpaksa berbuat demikian kerana kampung mereka sukar untuk mendapatkan kemudahan elektrik kerana membuat rumah di kawasan setinggan, tapi bukanlah lesen untuk mereka mencuri elektrik kerana kerajaan telah sediakan cara untuk mendapatkan elektrik daripada penjana elektrik bebas,” kata V.K.Liew yang juga Ahli Parlimen Sandakan.

“Saya merayu agar penduduk kampung setinggan supaya menghentikan segera kegiatan yang membahayakan pengguna lain kerana jika mereka ditangkap, mereka akan didakwa dan dihukum mengikut Seksyen 37 (3), Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali,” kata V.K.Liew yang menegaskan penyambungan haram elektrik adalah sabotaj ekonomi negara dan jenayah yang berat.

PENGHARGAAN.... Liew memberikan sijil penghargaan kepada PDRM yang turut serta menjayakan program tersebut.

V.K.Liew menekankan, sekiranya mereka ingin mendapatkan bekalan elektrik, mereka boleh memohon secara sah daripada syarikat Pentagon kerana SESB hanya membekalkan elektrik kepada pengguna selain kawasan setinggan.

Demikian antara intipati wawancara V.K.Liew dengan Wartawan Kanan Sabahkini.Net Wilayah Sandakan pada majlis ‘Program Bringing Service To The People’ anjuran Pejabat Urusetia Parlimen Sandakan yang diadakan di Gelanggang Bola Keranjang Taman Damai Batu 2, Jalan Utara, Sandakan pagi kelmarin.

Katanya, program sebegini adalah program bulanan Ahli Parlimen Sandakan yang dijalankan di setiap taman-taman perumahan untuk memberi pelbagai perkhidmatan kepada penduduk setempat; di samping dapat bertemu dengan rakyat untuk mengetahui lebih dekat lagi segala permasalahan yang mereka sedang hadapi.

Program yang dimulakan dari jam 7.00 pagi dan berakhir pada jam 12 tengah hari turut disertai PDRM, Jabatan Kesihatan, SAGA, Bomba dan pelbagai persatuan.

No comments:

Post a Comment