Monday 24 October 2011

WUJUDKAN LEBIH BANYAK KEDAI 1MALAYSIA


Oleh : ROZIE JUMAT

KERAJAAN Persekutuan disaran agar membuka lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia, bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi juga merangkumi kawasan luar bandar yang sesuai dengan matlamat utama pengwujudan kedai tersebut bagi membantu meringankan beban rakyat yang berpendapatan rendah.

Ketua Bahagian Parti Liberal Demokratik (LDP) Bahagian Sepanggar, Loretto S.Padua Jr berkata, keprihatinan kerajaan ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat di bandar yang berpendapatan rendah dengan mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia sangatlah dihargai dan satu langkah bijak untuk rakyat.

Sehubungan itu kata Loretto, LDP meminta agar lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia dibuka di kawasan Inanam, Menggatal, Karambunai dan Telipok kerana tempat berkenan masih terperangkap dengan cara hidup kampung dan juga Bandar, selain daripada faktor lokalitinya.

Menurut Loretto, kebanyakan penduduk yang tinggal di pesisir bandar atau kampung turut berhadapan dengan kos hidup yang tinggi seperti yang dihadapi oleh penduduk di Donggongon dan Kinarut.

“Masalah yang dihadapi rakyat yang tinggal di kampung ialah kos sara hidup mereka sama tinggi seperti di bandar. Penduduk yang tinggal di kawasan ini memerlukan sekurang-kurangnya RM800 hingga RM1,000 sebulan untuk menanggung kos hidup, walaupun status tempat tinggal mereka bukanlah bandar dan ada yang masih tinggal di kampung,” ujar Loretto.

LDP, kata Loretto, memberi sokongan penuh terhadap usaha pengwujudan Kedai Rakyat 1Malaysia ini, namun kami merayu kepada kerajaan agar jangan menghadkan pembukaan kedai Rakyat 1 Malaysia untuk golongan berpendapatan rendah yang tinggal di bandar sahaja, tetapi mestilah merangkumi golongan yang tinggal luar bandar agar manfaat dapat dirasakan secara menyeluruh.

Katanya, tidak seperti di pedalaman, masyarakat di situ tinggal di kampung dan mereka juga akan menanggung kos sara hidup seperti di kampung. Namun begitu, mereka yang tinggal di pedalaman juga harus tidak terkecuali untuk merasakan manfaat yang dilakukan oleh kerajaan seperti Kedai Rakyat 1 Malaysia dan dapat merasakan arus pembangunan yang sebenar, tanpa menganggap yang pembangunan itu adalah satu bebanan dengan kenaikan harga barang.

Tambahnya, tidak dinafikan Kedai Rakyat 1 Malaysia bakal menganggu perniagaan sedia ada, namun beliau mohon kepada kerajaan agar menyediakan satu medium untuk memantau pembeli di Kedai Rakyat 1 Malaysia ini agar objektifnya dapat dikekalkan iaitu untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah.

Lagipun, dengan wujudnya kedai rakyat 1 Malaysia ini, akan memberi saingan kepada para peniaga sedia ada agar tidak menaikkan barang keperluan asas dengan sewenang-wenangnya.

“LDP yakin pembukaan kedai Rakyat 1 Malaysia akan dibuat secara berperingkat-peringkat di Sabah dan kita mahu lebih banyak kedai itu diwujudkan disini,” ujar Loretto.

No comments:

Post a Comment