Friday 21 October 2011

BAHAYA KERANA PENUTUP LONGKANG HILANG



SABAHKINI.NET telah melakukan tinjauan sebaik sahaja menerima aduan daripada pemilik premis perniagaan di kawasan perindustrian di Bandar Kim Fung, Batu 4 Sandakan berhubung dengan ketiadaan penutup longkang di sekitar premis berkenaan.

Melalui tinjuan yang dilakukan, telah didapati beberapa penutup longkang jenis besi telah tiada dan disyaki telah dicuri memandangkan penutup longkang jenis besi merupakan sasaran pencuri untuk dijual bagi mendapatkan wang.

Aduan tentang permasalahan ini telahpun diajukan kepada pihak Majlis Perbandaran Sandakan pada 20 Oktober 2011 dan kira-kira pukul 8 pagi pada hari yang sama, Sabahkini.net telah menerima maklumbalas melalui email daripada pihak MPS bahawa ia telah dirujuk kepada Jurutera Perbandaran Kanan untuk tindakan lanjut.

Menurut pemilik premis di lokasi berkenaan, mereka memaklumkan bahawa ketiadaan penutup longkang telah menyebabkan lori serta kenderaan mengangkut seperti van dan ‘double cab’ terpaksa meletakkan kenderaan di atas jalan raya dan ini akan menyebabkan pengguna jalan raya yang lain tersekat dan terganggu.

Pernah ada kejadiaan barang pungahan terjatuh ke dalam longkang tersebut semasa pekerja memungah barang dan nasib baik barang yang jatuh dan bukannya pekerja tersebut yang terjatuh ke dalam longkang.

Untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku, pihak pemilik-pemilik premis di tempat berkenaan telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan tayar dan bongkah kayu sebagai tanda amaran adanya lubang besar di hadapan mereka.

Para pemilik premis niaga berharap pihak MPS dapat menyegerakan penyediaan penutup longkang jenis konkrit untuk mengelakkan pencuri mencuri penutup longkang jenis besi.

No comments:

Post a Comment