Sunday 2 October 2011

BANTERAS SEGERA KERETA SAPU DI LAHAD DATU



Oleh : KREW SABAHKINI.NET

PIHAK berkuasa terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Trafik dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah diminta mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan kereta sapu yang begitu berleluasa di Bandar Lahad Datu.

Bendahari Agung Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS), Mursidi Ridi, berkata, masalah kereta sapu telah menjejaskan pengusaha pengangkutan awam yang mempunyai permit yang sah.

Katanya, kegiatan tersebut sudah lama wujud di daerah ini dan sudah tiba masanya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha haram terlibat.

"Kita berharap pihak penguatkuasaan akan berganding bahu untuk menangani masalah ini supaya perkhidmatan pengangkutan awam di daerah ini tidak dicemari," katanya ketika ditemui di sini.

Mursidi berkata, kegiatan kereta sapu di pekan ini tidak banyak perubahan dengan keadaan beberapa tahun yang lepas.

Katanya, kebanyakkan kereta sapu ini beroperasi di sekitar pekan seperti berhampiran kawasan pasar dan kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Menurutnya, semasa Anggota Parlimen kawasan Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin masih menjadi Pengerusi LPKP, beliau telah kerap kali menyuarakan masalah kereta sapu ini termasuk yang wujud di Lahad Datu.

"Tidak lama dahulu, dalam satu dialog, kita dimaklumkan terdapat kira-kira 500 kereta sapu di sini dan oleh kerana itu, pihak persatuan pernah mencadangkan supaya pengeluaran permit tambahan dilakukan oleh LPKP bagi membolehkan mereka yang layak dapat menjalankan perkhidmatan dengan sah," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada masa ini kaedah itu tidak lagi sesuai dan apa yang harus dilakukan ialah mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha haram tersebut bagi mengurangkan risiko kepada penumpang.

No comments:

Post a Comment