Sunday 2 October 2011

MDLD PUNCA SUKAR BANTERAS KERETA SAPU


TERLIBAT...Apakah Pengerusi MDLD terlibat menggalakkan kereta sapu dan penjaja haram?

PENGUSAHA bas mendakwa sikap Majlis Daerah Lada Datu (MDLD) di daerah ini yang memberi ruang kepada pemilik kereta sapu mengambil penumpang di beberapa tempat di pekan ini menjadi punca kegiatan haram itu tambah berleluasa.

Menurut mereka, Majlis Daerah mengupah individu tertentu untuk membuat kutipan bayaran bergilir-gilir, mengambil penumpang terutama pemilik van yang tidak ada permit yang sah.

"Pemilik-pemilik van haram terbabit dikenakan bayaran antara RM2 hingga RM5 bergantung kepada jumlah muatan penumpang bagi setiap kali perjalanan," dakwa jurucakap pengusaha bas, Baluan Odzan.

Beliau berkata, perbuatan tersebut seolah-olah memberi galakan kepada pemilik kereta sapu untuk terus beroperasi secara haram.

Katanya, pemilik kereta sapu sanggup membayarnya memandangkan mereka bebas beroperasi seperti pengusaha bas yang lain walaupun mereka hanya berbaris mengambil penumpang di luar kawasan terminal.

"Pemilik-pemilik kereta sapu merasakan diri mereka dilindungi dan tanpa segan silu, mereka terus menjalankan kegiatan itu walaupun sebenarnya tindakan mereka menyalahi undang-undang dan menimbulkan risiko terhadap nyawa penumpang," kata Baluan.

Beliau berharap perkara itu perlu dihentikan segera supaya usaha pihak penguatkuasaan untuk menangani masalah kegiatan kereta sapu di daerah ini akan mencapai kejayaan.

"Kami mahu melihat kegiatan kereta sapu ini dapat ditangani sebelum ia tidak terkawal dan menjejas teruk pengusaha pengangkutan awam yang tulen," tegasnya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha bas yang hanya mahu dikenali sebagai Johan melahirkan rasa terkilan kerana beberapa orang bukan warganegara telah diberi kebenaran oleh pejabat daerah untuk menjaja di kawasan terminal bas di sini.

Katanya, dia sendiri mendapat salinan kebenaran itu yang ditangani oleh Pegawai Daerah yang ditunjukkan oleh salah seorang penjaja bukan warganegara itu.

"Kami seperti tidak percaya dengan perkara itu berlaku kerana jika kebenaran seumpama itu diberikan kepada bukan waqaganegara, ia bukan saja menjejaskan penjaja tempatan, tetapi ia seolah-olah telah memberi ruang kepada PATI," katanya.

Beliau menambah, jika keadaan seperti ini terus berlaku selain kegiatan-kegiatan kereta sapu tidak ditangani nescaya pekan Lahad Datu ini suatu hari akan menjadi bandar rojak.

No comments:

Post a Comment