Monday 17 October 2011

LOTUD MASYARAKAT TERBILANG TETAPI TERBUANG?



Saudara Pengarang,

SAYA ingin meluahkan kebimbangan saya tentang apa yang sedang berlaku di Tuaran. Kita tidak dapat nafikan bahawa daerah ini telah membangun dengan pesat sejak mencapai kemerdekaan pada 16 September 1963.

Malah kita telah melihat bagaimana daerah itu telah melahirkan ramai pemimpin; yang juga tempat Persatuan Dusun Sabah Bersatu (USDA) diasaskan dan pernah mempunyai 80,000 ahli.

Tuaran juga adalah pusat perjuangan Pekemas dengan pejuang-pejuang yang berani seperti M.A. Rahman dan melahirkan seorang pemimpin berkarisma seperti OKK Indan Kari, yang kemudiannya menjadi Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, yang pada masa itu sudah bernama Tun Hamdan Abdullah.

Kita juga berbangga dengan Limbai Angkapon yang terkenal itu, yang sepatutnya telah menjadi Ahli Parlimen Tuaran jika dia tidak meninggal sewaktu berkempen; satu kejadian yang telah memberi kemenangan yang tidak sepatutnya kepada Buja Gumbilai pada pilihanraya umum 1969.

Masyarakat Lotud adalah satu kumpulan yang dihormati dan disegani ketika itu, malah Ketua-Ketua Anak Negeri dan Ketua-Ketua Kampungnya juga dihormati. Ini kerana orang-orang Lotud mempunyai satu sejarah panjang berasaskan kebanggaan kaum dan sikap agresifnya.

Dalam budaya Lotud, pemimpin tertinggi dipanggil ‘Kobontugan’ (Yang Paling DiPuji); pemimpin yang mahir dalam hal-ehwal adat dan falsafah kehidupan; menunjukkan kualiti kepimpinan yang tinggi; cekap dalam kemahiran-kemahiran hidup; tahu proses ritual-ritual dan menunjukkan keberanian dan kekuatan dalam peperangan.

Warisan kebanggaan inilah yang telah menjadi motivasi bagi orang Lotud sehinggalah di tahun 1960-an. Tetapi apabila kemerdekaan datang, politik juga datang dan mula menghakis nilai-nilai lama. Sekarang ini orang dilantik kerana kesetiaan politik mereka, dan bukan selalunya kerana kualiti peribadi mereka. Sedihnya, hari ini sudah tidak ada lagi ‘Kobontugan’ dalam masyarakat Lotud.

Hari ini kita boleh melihat bahawa masyarakat Lotud telah merosot dalam banyak aspek. Mereka telah menjadi mangsa kelemahan mereka sendiri; mangsa persaingan dan mangsa akibat diabaikan oleh kaum lain yang memimpin di Tuaran.

Ketika seorang Lotud telah menjadi seorang Ahli Parlimen Tuaran dulu, ramai orang Lotud telah merungut (sehingga sekarang) bahawa mereka telah tidak diendahkan olehnya dan tiada seorang Lotud pun yang mendapat apa-apa faedah pembangunan.

Sekarang orang Lotud adalah satu kumpulan yang tidak mempunyai pemimpin. Tiada YB, sama ada seorang ADUN, Ahli Parlimen atau pun senator. Yang kita ada hanyalah enam orang Datuk yang kebanyakannya sudah bersara atau sudah melintasi had tempoh dan daripada enam Datuk ini, hanya dua orang yang tinggal di Tuaran!

Lotud juga tidak mempunyai satu kawasan DUN seperti kebanyakan kumpulan-kumpulan etnik yang lain. Kelompok Lotud yang terbesar terletak di DUN Tamparuli, di mana mereka berada di bawah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang bukan berketurunan Lotud dan bukan pun dari Tamparuli, tetapi dari Kiulu.

Di Sulaman, orang Lotud berada di bawah seorang YB Bajau. Saya dimaklumkan bahawa pada satu masa dulu, Upko ada mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan satu kawasan majoriti Lotud dipanggil DUN Marabahai, tetapi sehingga sekarang tidak ada lagi kedengaran perkembangan mengenai perkara ini.

Oleh kerana sekarang ini ada ura-ura menambah persempadan kawasan pilihanraya, saya merayu agar DUN Marabahai yang dicadangkan itu diwujudkan khusus untuk pengundi-pengundi Lotud.

Raymond Tombung ada menyentuh perkara yang menyedihkan ini dalam kolum beliau baru-baru ini, namun belum ada apa-apa tindakan telah diambil oleh mana-mana pihak untuk mencari jawapannya. Kita perlu menyediakan satu memorandum mengenai hal ini untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan.

Orang kata, jika kita mahu melihat sejauh mana tingginya pemikiran dan semangat sesuatu kaum itu, kira sahaja berapa ramai penulis dan lihat kualiti karya-karya mereka. Saya nampak di Tuaran hanya terdapat seorang penulis yang aktif, iaitu Raymond sendiri.

Yang seorang lagi ialah Datuk Raya Erom, tetapi sejak akhir-akhir ini beliau tidak ada menulis, mungkin kerana beliau begitu sibuk dengan kerja-kerja kebajikan beliau. Bandingkan ini dengan jumlah penulis-penulis Kimaragang, yang termasuklah Daniel Jebon Janaun, Janathan Kandok, Suzita Janaun, Rasimi Linggang, Norhamidah Jarimal, Justina Tuyundo, Rapiah Supu, Welin Ebal (yang telah menulis beberapa buah novel) dan beberapa orang lagi.

Dua puluh tahun yang lalu kaum Kimaragang dan Rungus adalah kelompok-kelompok minoriti yang berada jauh di bawah prestasi kaum Lotud, tetapi sekarang mereka telah mendahului kita! Telemovie Rungus yang pertama baru sahaja dilancarkan pada 11 September, sementara kita masih bermimpi menonton filem Lotud yang pertama!

Masyarakat Lotud menghadapi banyak masalah, sebahagiannya kerana ia tidak mempunyai bakat dalam banyak bidang yang penting, terutama di bidang kepimpinan sehingga begitu ketara pada hari ini.

Tuaran terkenal sebagai tempat kelahiran USDA, tetapi Tuaran juga adalah tempat kubur USDA! Persatuan yang cukup terkenal ini yang suatu ketika dulu begitu disegani, sudah pernah dibatalkan pendaftarannya tetapi telah dibenarkan hidup semula beberapa tahun.

Saya dimaklumkan ia dihidupkan semula dengan syarat satu mesyuarat agung yang betul harus diadakan secepat mungkin dan rekod-rekodnya mesti diperkemaskan. Malang sekali, presidennya yang ada sekarang, Datuk Kalakau Untol, yang telah mengambil-alih jawatan itu dari Datuk Mark Koding, tidak pernah sekali pun mengadakan mesyuarat agung sejak 17 tahun yang lalu!

Sekarang persatuan ini sedang separuh mati dan nyawanya dipanjangkan dengan penghantaran laporan tahunan yang dibuat di atas meja tahun demi tahun. Yang kononnya, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi semuanya dari Tuaran, kecuali Bendahari Agung yang datang dari Penampang.

Kesemua mereka ini adalah dipungut-pungut oleh Kalakau sendiri kerana mereka adalah pungut-pungutan dan bukan dipilih melalui mesyuarat agung, mereka adalah pemimpin-pemimpin yang tidak sah atau dengan kata yang lebih tepat, USDA adalah sebuah pertubuhan HARAM!

Saya berpendapat bahawa Kalakau harus meletakkan jawatan sebagai Presiden dan membenarkan seorang lain yang lebih berkebolehan untuk memimpin persatuan ini sebelum ia terkubur buat selama-lamanya dan membawa malu kepada seluruh bangsa Dusun.

Tahun lalu, satu persatuan Lotud yang baru, Persatuan Suang Lotud Sabah (LOTUD) telah dilancarkan, tetapi ini pun sudah dalam keadaan separuh mati kerana ia tidak ada apa-apa aktiviti kecuali waktu Pesta Kaamatan dan presiden pengasasnya begitu tidak bertenaga dan lalai.

LOTUD tidak pun bermesyuarat sekali dalam setiap tiga bulan seperti yang diperlukan oleh Pendaftar Pertubuhan. Bagi saya persatuan ini begitu membawa malu kepada masyarakat Lotud. Sayang sekali, apabila kita para penatua Lotud duduk untuk minum, kita banyak bercakap dengan semangat yang meluap-luap dan membincangkan masalah masa hadapan kita bersama.

Tetapi apabila kita tidak lagi mabuk, kita lupa apa yang kita mahu dan kita perlu minum lagi untuk kembali bersemangat dan bercakap dan bercakap. Mungkin apa yang kita perlu bukanlah lebih banyak persatuan, tetapi lebih banyak ‘aramai iti’ untuk dapat maju ke hadapan!

Orang Lotud juga adalah pengecut (Guntalau) dalam banyak hal. Di zaman dulu, kita merupakan pahlawan-pahlawan garang, tetapi hari ini orang memijak kepala kita, namun anehnya kita menerimanya sahaja.

Contohnya, kenapakah Ketua Anak Negeri yang ada sekarang, Saniban Amphila, tidak dinaikkan pangkat menjadi Ketua Daerah walaupun jawatan Ketua Daerah telah kosong sudah bertahun-tahun? Kenapa Tuaran mempunyai hanya Ketua Daerah Bajau?

Saya juga saya ingin bertanya kepada Ahli Parlimen Tuaran dan tiga orang ADUN di kawasan itu: Kenapakah hanya terdapat tiga atau empat orang Lotud yang tinggal bekerja di Majlis Daerah Tuaran sedangkan selebihnya dari sekitar 200 kakitangannya adalah dari kaum Bajau? Ini sama juga kesnya dengan Pejabat Daerah Tuaran.

Saya juga difahamkan di Tamparuli pun orang Dusun semakin dikalahkan jumlah mereka oleh kakitangan-kakitangan Bajau dari Tenghilan. Kenapa? Kenapakah orang Lotud berdiam diri sahaja?

Bagi saya, ini bukan isu persaingan tetapi persoalan mengenai keadilan. Di manakah konsep 1Malaysia di Tuaran? Apa pun keadaannya, jika orang Lotud tidak pun berani untuk bersuara, maka padan muka merekalah bila mereka tidak mendapat hak mereka.

Kita tidak boleh menafikan bahawa sesuatu harus dilakukan bagi menyelesaikan keadaan yang menyedihkan di dalam masyarakat Lotud kerana kita telah menjadi begitu pemalas, mempunyai sikap tidak apa, dan penakut.

Kita perlu mencari semula semangat perjuangan yang dulu ada pada kita. Bagi saya keadaan ini bukanlah perkara wang. Apa yang kita perlukan ialah semangat sekumpulan dan kepimpinan yang kuat. Jika kita tidak pun dapat mencari dua perkara ini, sedih untuk saya nyatakan, tetapi kita pasti akan habis; dan bila nanti itu berlaku, kita tidak ada sesiapa untuk disalahkan kecuali diri kita sendiri.

Salam Hormat,

EGON A. UBIT

No comments:

Post a Comment