Monday 17 October 2011

NAJIB PERLU CARI ‘PELESIT’ DALAM UMNO



Oleh : MUTALIB M.D

PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak disaran agar mencari ‘Pelesit’ di dalam UMNO yang merosakkan peluang Barisan Nasional untuk mempertahankan Sabah sebagai ‘Fixed-Deposit’, atau melupakan sahaja hasrat beliau untuk terus menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Pemerhati Politik, Abdullahsani Haji Abdul Salleh ketika menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi berkata, beliau ingin mengulas kenyataan Najib Tun Razak mahu Malaysia dan Indonesia mencari ‘Pelesit’yang cuba merosakkan hubungan mesra dan rapat antara kedua-dua Negara, semasa berucap merasmikan Konvensyen Dunia Melayu, Dunia Islam (DMDI) Ke-12 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Najib tidak perlu mencari ‘Pelesit’ di luar negara kerana Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah ‘Pelesit’ paling besar yang menjadi gunting dalam lipatan di dalam UMNO/BN dan menjadi liabiliti kepada Barisan Nasional,” kata Abdullahsani yang kesal dengan tindak tanduk Shafie menggagalkan kelancaran pembangunan di Sabah.

Shafie, kata Abdullahsani, telah membelakangkan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Pejabat Daerah dan Jabatan Kejuruteraan seperti Jabatan Kerjaraya dan Jabatan Pengairan dan Saliran dalam pelaksanaan semua projek KKLW di Sabah, sebaliknya melantik FELCRA sebagai pemantau projek KKLW.

Melalui tindakan tersebut, Shafie telah melakukan sabotaj paling besar kepada pembangunan Sabah dan meletakkan ekonomi Sabah dalam keadaan tenat kerana banyak projek tidak mencapai sasaran yang dirancangkan Pejabat Daerah dan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah.

“Rasuah dan projek TOP-UP sudah menjadi satu kemestian dalam semua projek KKLW sehingga Perdana Menteri dibenci rakyat Sabah disebabkan Shafie menggelarkan dirinya sebagai ‘Blue Eye Boy’ kepada Najib,” kata Abdullahsani yang curiga dengan tindakan Najib mempertahankan salahlaku Shafie sekalipun Timbalan Presiden PKR, Tian Chua dan Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR Sabah, Citra Masadi telah mendedahkan kecurangan Shafie melalui media.

Sehubungan itu, Abdullahsani mendesak agar Perdana Menteri tidak mengotorkan tangannya merestui kegelojohan Shafie membelanjakan peruntukan NKRA tanpa restu Kerajaan Negeri Sabah dan Pejabat Pembangunan Negeri yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sebaiknya, kata Abdullahsani, Kerajaan Persekutuan memansuhkan Jabatan Pembangunan Negeri kerana tidak langsung berfungsi; sebagaimana gagalnya Jabatan Pembangunan Persekutuan sedikit masa lalu bagi mengelakkan rakyat Sabah terus membenci Kerajaan Persekutuan yang dianggap menjajah Sabah sejak 1963.

“Saya tidak hairan jika rakyat Sabah curiga dengan Bajet 2012 kerana mereka hanya menjadi ‘Pemerhati Pembangunan’ dan bukannya ‘Menikmati Pembangunan’ sekalipun berbilion ringgit dicurahkan ke Sabah setiap tahun,” kata Abdullahsani yang berpendapat Shafie menanamkan bibit kebencian rakyat setiap hari dan mungkin menjadi punca penamat pemerintahan BN di Sabah.

(NOTA : Pendapat Abdullahsani adalah pendapat peribadi beliau sebagai Pemerhati Politik Bebas dan bukannya mewakili mana-mana NGO yang disertai atau dipimpinnya dan tidak ada kena mengena dengan Sabahkini.net)

No comments:

Post a Comment