Monday, 17 October 2011

SANDAKAN, LEBIH SINONIM DENGAN ‘NATURAL CITY’



Oleh : CHANG SHAK HUNG

ADAKAH kempen kebersihan yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) melalui Jawatankuasa Kecil Kebersihan hampir tiga bulan lalu telah menampakkan kejayaan dan keberkesanan dalam mendidik penduduk supaya tidak membuang sampah sarap di merata-rata tempat; serta pelaksanaan undang-undang kepada mereka yang engkar dan tidak bertanggungjawab dalam hal-hal berkenaan dengan kebersihan?

Jawapannya adalah ‘TIDAK’. ‘Penduduk’ adalah merujuk kepada orang yang tinggal di sesuatu kawasan tidak kira yang sah di sisi undang-undang dengan pengenalan diri yang sah; mahupun mereka yang merupakan pendatang asing atau penduduk yang langsung tidak mempunyai kad pengenalan diri yang sah, dalam perkataan lain, pendatang tanpa izin.

Gambar yang diambil di lokasi Bandar Nam Tung, Sandakan pada minggu lalu selepas Sabahkini.net menerima aduan daripada pemilik premis perniagaan yang mengadu dengan bau busuk yang menyebabkan rasa ketidakselesaan dengan keadaan sedemikian, telah membawa kepada penemuan longgokan sampah-sarap di pinggir laut yang begitu dashyat sekali.

Sampah sarap yang kebanyakannya merupakan beg plastik serta bangkai binatang dan benda-benda asing yang lain, begitu menyayat hati sedangkan kempen kebersihan yang kononnya untuk memberi kesedaran kepada pihak umum, langsung tidak berjaya dan berkesan!

Apa yang paling memilukan adalah keadaan flora dan fauna serta kehidupan di dasar laut akan terancam dengan keadaan yang kotor terutamanya beg-beg plastik yang begitu banyak dengan langsung tidak mencerminkan Sandakan sebuah bandar ‘Nature City’!

Ataupun lebih tepat sekali Sandakan perlu dilabelkan dengan ‘Sandakan, Natural City’ memandangkan sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab yang lebih ‘natural’ membuang sampah sarap dengan sedemikian rupa?

Kepada pihak Jawatankuasa Kecil Kebersihan, warganegara Sandakan yang begitu bertungkus lumus untuk menjaga kebersihan di Sandakan ini, silalah buat kerja anda dengan bertanggungjawab dan tidak hanya menuduh, “inilah sikap penduduk yang tidak pandai menjaga kebersihan”; sedangkan kelemahan penguatkuasaan dalam ‘mengajar’ mereka yang langsung tidak menjaga kepentingan umum dan hati orang lain dari segi kebersihan di Sandakan ini.

Jawatankuasa Kecil Kebersihan lebih sesuai kepada ‘cakap tidak serupa bikin’ memandangkan kegagalan dalam menjaga kebersihan di Sandakan ini!

No comments:

Post a Comment