Sunday 2 October 2011

PPBBS LAHAD DATU WAJAR TUNTUT GANTI RUGI



PERSATUAN Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) meminta Majlis Daerah Lahad Datu supaya memberi peluang kepada cawangan persatuan itu di Lahad Datu untuk terus mengendalikan terminal bas di pekan berkenaan buat sementara waktu selagi tiada perancangan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di tapak tersebut.

Ketua Penerangannya, Rahman Piut, berkata, PPBBS cawangan Lahad Datu mempunyai rekod yang baik sepanjang mengendalikan kemudahan terminal tersebut dan tiada sebab perkhidmatan mereka itu diabaikan begitu sahaja.

Katanya, PPBBS cawangan berkenaan telah menerima surat dari Majlis Daerah Lahad Datu supaya mengosongkan terminal itu tanpa memberi sebarang alasan kukuh dan munasabah.

“Oleh kerana cawangan kami di Lahad Datu telah mengendalikan terminal itu dengan baik, sekaligus telah membantu memperaturkan bas-bas di pekan itu; selain membuat pembayaran sewa mengikut jadual, tiada sebab pihak majlis tidak mengambil kira rekod baik tersebut,” katanya.

Ketua Penerangan PPBBS itu berkata, sekiranya pihak majlis meneruskan hasratnya ingin menghentikan perkhidmatan cawangan mereka di Lahad Datu mengendalikan terminal tersebut, Majlis Daerah seharusnya membayar ganti rugi kepada PPBBS cawangan Lahad Datu kerana selama ini mereka selain membayar sewa bulanan, mereka juga telah menanggung kos yang tinggi bagi menyelenggarakan kemudahan tersebut selama ini.

“Saya fikir PPBBS cawangan Lahad Datu wajar membuat tuntutan itu sebelum bersetuju mengosongkan terminal berkenaan,” tegasnya sambil menambah perkara itu sudah pun dimaklumkan kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Noor dalam surat rayuan persatuan kepada beliau berhubung perkara itu baru-baru ini.

“Kita berharap pihak kementerian mengambil kira perkara ini memandangkan pihak persatuan telah memberi penjelasan terperinci kepada menteri berkenaan melalui surat rasmi dan perjumpaan dengan pihak pengurusan PPBBS sebelum ini.”

Beliau berkata, pihak persatuan juga merayu dan memohon jasa baik, Datuk Hajiji supaya campur tangan untuk membantu menyelesaikan perkara tersebut.

Menurut beliau, Setiausaha Agung PPBBS, Haji Awang Dullah dan Bendahari Agung, Mursidi Haji Ridi turut menemui Pengerusi Majlis Daerah Lahad Datu yang juga Pegawai Daerah, Haji Zulkifli Nasir kelmarin.

Berdasarkan input mereka, pihak pengurusan PPBBS memutuskan supaya PPBBS Lahad Datu membuat tuntutan ganti rugi sekiranya terus diminta pihak MDLD mengosongkan terminal itu.

Katanya, inilah pendirian persatuan dan jumlah ganti rugi yang dituntut masih dalam semakan dan cawangan kami di Lahad Datu akan menentukannya dan mengemukakannya kepada MDLD.

Beliau menegaskan, pihak persatuan terkilan apabila diberitahu terdapat individu tertentu yang berkepentingan cuba menangguk di air keruh sehingga menjadikan pihak majlis terburu-buru mengambil keputusan seumpama itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli-ahli serta pengusaha bas di Lahad Datu yang merupakan penyokong setia kerajaan sebelum ini supaya menyemak semula pendirian mereka sekiranya pihak majlis tidak mengambil kira hak dan kepentingan mereka.

“Kalau kita cuba diperlakukan begini, seharusnya kita bersatu untuk melakukan perubahan di masa hadapan dan kebelakangan ini memang banyak tekanan kepada pengusaha bas dan harapan kita pihak kerajaan tampil membantu kita kerana seluruh pengusaha bas di Lahad Datu merupakan pengundi dan menyokong kerajaan,” kata Rahman.

No comments:

Post a Comment