Thursday 20 October 2011

RAKYAT TUNGKU MULA PROTES



Oleh : ABIJAN MUHAJAN

PENDUDUK di Taman Warisan, Lahad Datu yang bernasib malang kerana terletak di Sempadan Pilihanraya DUN Tungku dan Lahad Datu mula melakukan protes senyap mengutuk tindakan ADUN Tungku, Ustaz Suhaili Said yang bukan sahaja mengabaikan mereka, malah menaburkan janji kosong sejak dua penggal lalu.

Mungkin kerana terlalu marah tetapi tidak mahu menyuarakan keluhan mereka melalui media masa, seorang penduduk Taman Warisan, Khadafi bertindak menggantungkan kerusi dan tayar basikal di tiang telefon di hadapan rumahnya yang membawa maksud mereka tidak ada Wakil Rakyat dan mengisytiharkan Kerusi DUN Tungku sebagai ‘Kosong’.

“Kita marahpun tidak guna kerana Adun kami bukan pernah melawat Taman Warisan. Kami macam tinggal dalam hutan rimba tetapi kena bayar pelbagai cukai termasuk cukai sampah, cukai pintu, cukai tanah, cukai saluran najis dan meter air, tetapi kami jarang dapat menikmati perkhidmatan yang disediakan kerajaan,” kata Khadafi yang jelak dengan sikap Ustaz Suhaili yang hanya tahu berjanji mahu menyelesaikan setiap aduan mereka.

Tegas Khadafi, penduduk Taman Warisan bukan sahaja terpaksa menyelenggara parit yang tersumbat, malah tidak mendapat bekalan air bersih setiap hari sedangkan Lahad Datu mempunyai cukup bekalan air.

“Kami masih lagi membeli air RM160 satu tangki yang tahan untuk satu minggu. Kalau minta tolong Majlis Daerah murah kena bayar RM98 sahaja tetapi macam pengemis minta tolong,” ujar Khadafi yang menghadapi kesulitan untuk mendapatkan bekalan air paip sekalipun menggunakan pam disebabkan sabotaj pekerja Jabatan Air yang menerima rasuah daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang tinggal di Desa Bajau dan Kampung Sabah Baru.

Khadafi turut membidas Majlis Daerah Lahad Datu kerana tidak pernah menyelenggara atau menaiktaraf jalan di Taman Warisan yang rosak teruk dan melakukan pemungutan sampah sarap tiga hari sekali; apatah lagi DUN Tungku tidak ada Majlis Daerah.

Dalam keadaan yang serba susah kerana mengalami masalah parit tersumbat yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih, penduduk Taman Warisan merasa teraniaya kerana Kerajaan Barisan Nasional mengabaikan kebajikan mereka.

Sehubungan itu, Khadafi menggesa agar Ketua Menteri Sabah menggugurkan Suhaili pada pilihanraya umum akan datang bagi menamatkan penderitaan mereka kerana seolah-olah tidak ada wakil rakyat; atau BN akan kehilangan kerusi DUN Tungku akibat kemarahan rakyat.

“Ke mana kami mahu berurusan? Di Tungku hanya ada Pejabat Daerah Kecil yang tidak dapat melakukan apa-apa kerana tidak mempunyai Majlis Daerah. Sampai bila kami mahu tunggu. Kami mahu penyelesaian dan bukannya alasan atau penjelasan,” kata Khadafi lagi.

No comments:

Post a Comment