Oleh: MEDIA PBS TENOM
NAMPAKNYA PRU13 kini semakin hampir sampai ke penghujungnya kerana Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akan bertandang ke Tenom dan dijangka akan merasmikan seminar sehari suntuk pemantapan parti itu khusus untuk Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan juga cawangan-cawangan PBS bagi kawasan N.35 Melalap pada 23 Oktober 2011 kira-kira jam 8 pagi bertempat di Hotel Perkasa Tenom.
Demikian dinyatakan Pengerusi Penganjur bersama seminar itu yang juga Ketua Wanita PBS Melalap Rosnah Ullap, dalam satu kenyataan yang menyatakan matlamat seminar adalah untuk mengkaji sejauh manakah persiapan parti itu di Tenom ketika ini; selain menggerakkan jentera parti yang telah ditubuh sebelum ini untuk menghadapi sebarang kemungkinan pilihanraya umum kali ke-13 yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.
Seminar yang dianjurkan bersama sayap wanita dan pemuda itu akan dihadiri kira-kira 250 orang akan mendengar taklimat dua penceramah khas yang diundang dari PBS Pusat terdiri daripada Setiausaha Agung PBS, Datuk Henrynus Amin dan Exco Pergerakan Wanita PBS Pusat, Datin Malianah Ugau.
Rosnah berkata, seminar yang bertema ‘Kearah Mentransformasi Minda’ dijangka akan memberikan suntikan baru dari segi informasi terkini kepada para hadirin dalam usaha memperkasakan parti itu agar mampu mematahkan isu-isu hangat yang bakal dilemparkan pembangkang ketika menjelangnya pilihanraya umum kali ke-13 akan datang ini.
Jelasnya lagi, semua jentera di peringkat akar umbi juga turut memainkan peranan yang penting sebelum PRU13 untuk menerangkan dasar-dasar perjuangan BN termasuk dasar dan tujuan ‘Economic Transformation Programme (ETC) yang dijangka akan dikupas semasa seminar itu kelak.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda PBS yang baru terpilih, Mollin Haji Morris ketika diminta pandangan beliau pada PRU13 akan datang ini beliau menjelaskan, bahawa PRU13 kali ini merupakan satu-satunya cabaran pertama bagi beliau menghadapinya selepas terpilih sebagai Ketua Pemuda PBS.
Namun begitu tegasnya, Pemuda PBS sudah bersedia untuk turun ke gelanggang pada bila-bila masa dari sekarang untuk menggarap tugas penting yang tersandar di bahu pergerakan itu, tanpa rasa gementar ketika berhadapan dengan pembangkang yang beliau sifatkan suatu perkara yang bukan mudah baginya.
“Apa yang penting calon-calon yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 dapat mengekalkan kerusi mereka, terutamanya kerusi DUN Melalap yang diwakili PBS. Kami akan berganding bahu bersama parti-parti komponen BN yang lain untuk mempastikan kemenangan BN di kawasan dua DUN dan satu MP,” tegas Mollin.
No comments:
Post a Comment