SELEPAS 54 tahun hidup tanpa dokumen pengenalan diri, Ng Khen Wei yang berasal dari Sabah, bersyukur selepas diminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kembali ke sana bagi memohon dokumen itu.
Dilahirkan di Kalabakan, Tawau, Sabah, Ng berkata sejak ditahan pihak berkuasa pada 2006 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, beliau hidup dalam ketakutan.
"Sejak dari situ saya amat susah hati, saya minta bantuan beberapa pihak namun tidak ada penyelesaian sehinggalah berjumpa Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir," katanya kepada pemberita, di Perak, kelmarin.
Katanya beliau juga terpaksa melalui kesukaran ketika ditahan dan hanya dibebaskan selepas polis mengesahkan dakwaannya bahawa beliau memang rakyat Malaysia.
Ng yang menunjukkan surat JPN yang memintanya kembali ke Sabah dan membuat permohonan di JPN Kota Kinabalu, turut berterima kasih kepada Zambry yang bertindak pantas menyelesaikan masalahnya, selepas berjumpa pada Hari Bertemu Pelanggan anjuran kerajaan negeri pada 13 Sept lalu.
Katanya, ini merupakan kali pertama beliau kembali ke Sabah selepas meninggalkan negeri kelahirannya itu pada 1970, susulan permintaan ibunya yang bimbang dengan masa depan beliau.
"Masa itu umur saya 13 tahun dan datang ke Semenanjung dengan seorang ahli perniagaan berbangsa Cina, saya pergi merata-rata tempat di Semenanjung untuk bekerja seperti di Pulau Pinang dan Melaka," katanya.
Ng yang kini menetap di Kampung Koh, Sitiawan, berkata beliau terlalu ingin pulang ke kampung halamannya namun tidak dapat berbuat demikian kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Beliau yang mempunyai ayah berketurunan Cina dan ibu dari suku Kadazan juga berkata kepulangannya ke sana pada 30 Oktober ini akan mendapat kerjasama Jabatan Imigresen Sabah.
Sementara itu, Pegawai Khas kepada Zambry, Azri Jaafar berkata pihaknya telah menghubungi Anggota Dewan Undangan Negeri Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan bagi membantu menguruskan permohonan dokumen pengenalan diri Ng.
Dalam perkembangan berkaitan, Khen Wei berkata, beliau bercadang untuk menetap selama beberapa tahun di Sabah dan tidak menolak kemungkinan akan pulang semula ke Perak.
“Saya berasa cukup gembira kerana dapat pulang semula ke Sabah selain bakal memiliki dokumen pengenalan diri yang sah tidak lama lagi. Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu saya dalam menyelesaikan masalah ini, sekaligus memberi kehidupan baru yang lebih bermakna buat saya pada masa depan, ” jelasnya lagi.
No comments:
Post a Comment