Oleh : NASPAZI
PARADIGMA ringkas ini tentunya bukan rebutan setiap orang untuk membacanya atas dua sebab. Pertama, saya bukan penulis yang ternama dan jauh sekali dari seorang pemikir besar.
Kedua, dimensi Gagasan Idea yang terkandung di dalamnya berkaitan dengan dunia masa depan atau sejarah waktu muka yang akan membentangkan bahawa, merana bakal menghiasi atau mewarnai kehidupan bumiputera Sabah, melainkan Sabahan serentak bangun menangani cabaran kedaulatan 20 Perkara yang menjadi pagar emas autonomi Sabah dalam Malaysia.
Dengan ungkapan lain, konsep kedaulatan Sabah dalam praktikal kenegaraan Malaysia masa kini, jauh sekali dari kebajikan sejati dan kemakmuran hakiki sebagai suatu bangsa yang telah merdeka.
Apatah lagi mencapai Negara Maju seperti Singapura yang serentak dimerdekakan oleh British pada 31 Ogos 1963. Bahkan, regim Melayu UMNO telah menjerumuskan Sabah ke jurang kemiskinan yang nyata.
Yang demikian, penyebab terbesarnya adalah, sikap bumiputera Sabah sendiri yang tidak waspada akan bahaya bersama, khususnya yang berhubung dengan kehancuran perjanjian 20 Perkara; akhirnya tidak bersatu menghadapinya sehingga hak bumiputera Sabah bermasyarakat dan bernegara; sebagai negara yang telah merdeka dan bedaulat gagal dipertahankan; suatu ungkapan kemerdekaan yang terkubur menjadi reput dalam timbunan IC Projek terkutuk Melayu UMNO.
Lantaran itu, Sabah dan Sarawak tiada bukti atau masih tiada identiti sebagai sebuah negara yang telah merdeka dan berdaulat di persada antarabangsa; melainkan sebuah tanah jajahan Malaya yang dikawal sepenuhnya; sama seperti sebelas negeri yang membentuk Persekutuan Malaya.
Apakah ciri dan konsep Sabah sebagai negara yang merdeka dan berdaulat yang saya bayangkan? Secara ringkasnya, negara Sabah yang merdeka; yang saya bayangkan adalah sebuah negara Sabah yang bebas sepenuhnya dari segala campur tangan (intervensi) negara luar atau orang asing.
Merdeka dalam erti kata segala urusan pemerintahan dikuasai sepenuhnya oleh orang tempatan Sabah sebagai sebuah negara yang sudah berdaulat, sebagaimana yang diungkap dengan nyata dalam senikata lagu ‘Sabah Tanah Airku’.
Justeru, apa yang dikatakan sebagai negara Sabah yang sudah berdaulat (sovereign) adalah kedaulatan yang merupakan suatu ciri hakiki kewujudan Sabah sebagai sebuah negara yang bebas, merdeka, berdaulat dan berdikari.
Betapa, negara Sabah yang berdaulat dan berdikari adalah negara Sabah yang mempunyai kuasa mentadbir perihal dirinya tanpa campur tangan negara luar atau orang asing.
Dengan kata lain, negara Sabah yang berdaulat tidak mengakui suatu kekuasaan negara luar atau orang asing sebagai lebih tinggi daripada kekuasaannya sendiri dalam mengaturcara atau menentukan perihal dirinya bernegara sebagai syarat mutlak bagi terciptanya sebuah masyarakat Sabah yang teratur, berbudaya dan beridentiti sendiri di persada antarabangsa.
Malangnya, pengamal politik di Sabah pasca merdeka, bukan sahaja menunjukkan sikap pongah dalam transisi kerajaan baru; yang baru dibentuk, bahkan menghina dan melupakan pengorbanan leluhur pendiri Negara Sabah.
Akhirnya, seluruh generasi pasca merdeka berfikiran seakan tidak perlu setia kepada cita-cita leluhur dan dokumen-dokumen yang dirumuskan oleh negarawan yang membentuk Negara Sabah dalam Konfederasi Malaysia.
Sesungguhnya, sudah tiba waktunya buat bumiputera Sabah memilih jalan sejarah yang lebih baik, mempertahan dan melanjutkan pemberian berharga pendiri Negara Sabah, mendaulatkan gagasan mulia yang mereka rumuskan dari generasi ke generasi berikutnya.
Betapa pendiri Negara Sabah, mereka telah mengusung kita di atas jalan berbatu-batu menuju kemakmuran dan kebebasan di era pemerintahan mereka melalui tiga jalur pengorbanan yang nyata.
1. Demi kita, pendiri Negara Sabah telah berulang-alik ke London dan keluar masuk parlimen British untuk menuntut kemerdekaan Negara Sabah.
2. Demi kita, pendiri Negara Sabah telah bersengkang mata dan berhempas pulas merangka dan merumus 20 Perkara yang mendasari bentuk Negara Sabah dalam gagasan Konfederasi Malaysia.
3. Demi kita, ramai keluarga pendiri Negara Sabah yang bertempur dan terkorban, di pihak tentera Australia dan New Zealand (Sanzac) melawan tentera Jepun di era Perang Dunia Ke-2.
Justeru, demi harapan dan kebajikan, bumiputera Sabah patut bersatu secara kolektif dan holistik menghadapi bersama kesuraman dan kemuraman yang melanda landskap politik, ekonomi dan pendidikan yang menjadi hak mutlak bumiputera Sabah dalam gagasan Konfederasi Malaysia.
Sabah dan Sarawak adalah dua buah negara yang telah merdeka dan berdaulat pada 1963. Oleh yang demikian, warga Malaya yang masuk ke Sabah dan Sarawak wajib menggunakan pasport.
Dengan kata lain, status Sabah dan Sarawak tidak sama dengan status sebelas negeri Tanah Melayu yang membentuk Persekutuan Malaya atau ‘Federation of Malaya’. Oleh itu, status Sabah, Sarawak dan Malaya yang membentuk Malaysia adalah Konfederasi Malaysia atau ‘Confederation of Malaysia’.
Konsep negara konfederasi adalah gabungan beberapa buah negara yang merdeka dan berdaulat melalui dokumen pemerintahan bersama menerusi perjanjian yang saling mematuhinya.
Contohnya, perjanjian 20 Perkara yang mendasari pembentukan Malaysia. Adapun, perbezaan negara federal dengan negara konfederasi adalah kemerdekaan dan kedaulatan negara-negara yang bergabung di dalamnya.
Konsep negara federal tidak terbentuk atau dibentuk dari gabungan negara-negara yang sudah merdeka dan berdaulat sebelumnya. Contohnya, sebelas buah negeri Tanah Melayu yang membentuk Persekutuan Malaya yang dimasyhurkan kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 secara serentak.
Dengan kata lain, Persekutuan Malaya tidak dibentuk oleh beberapa buah negara yang sudah mencapai kemerdekaan dan kedaulatan yang berasingan sebelumnya.
Oleh sebab itu, konsep kenegaraan Malaysia adalah negara konfederasion, lantaran ianya dibentuk atas nama gabungan Sabah, Sarawak dan Malaya menjadi ‘Malaysia’ yang telah sama-sama merdeka dan berdaulat secara berasingan sebelumnya.
Justeru, tata hukum negara konfederasi tidak mengikat seluruh warganegaranya dalam satu bentuk undang-undang, melainkan undang-undang yang telah dipersetujui atau disepakati bersama. Demikian penjelasan wikipedia tentang konsep negara konfederasi.
“Under international law, a confederation respects the sovereignty of its members and its constituting treaty can only be changed by unanimous agreement. A confederation in modern political terms is a permanent union of sovereign states for common action in relation to other states.
Usually created by treaty but often later adopting a common constitution, confederations tend to be established for dealing with critical issues such as defence, foreign affairs, or a common currency, with the central government being required to provide support for all members.
The nature of the relationship among the states constituting a confederation varies considerably. Likewise, the relationship between the member states and the central government, and the distribution of powers among them, is highly variable. Some looser confederations are similar to intergovernmental organizations, while tighter confederations may resemble federations…”
Sedia maklum bahawa, Malaysia wujud melalui perjanjian yang ditandatangani oleh para negarawan yang terlibat pada 9 Julai 1963 di parlimen British. Semenjak dunia purba hingga ke era moden, sebarang perjanjian wajib ditaati, jika tidak, kamus sejarah meriwayatkan bahawa, ia boleh mencetuskan badai kemarahan dan mungkin berakhir dengan peperangan. Yang demikan, Sabah memerlukan negarawan standard antarabangsa yang bukan sekadar menjadi talibarut kepada Melayu UMNO!
Malaysia mendakwa sebagai negara pengamal demokrasi. Demokrasi dalam kerangka yang luas pernah memberikan keagungan tamadun ilmu kepada Yunani, maka lahirlah ungkapan abadi, “Beri aku tempat untuk berdiri, dan aku akan mengubah dunia” (Archimedes: 287-212sm).
Namun, tatkala Yunani terlanjur diperintah oleh penzalim, lantas Yunani musnah sepenuhnya dan yang tinggal kini hanya tamadun ilmu mereka dalam bentuk falsafah yang menjadi produk di era keemasan demokrasinya.
Sehubungan dengannya, warga Malaysia amnya, dan warga Sabah khususnya, adalah lebih bermoral kiranya, jika secara jujur mengamalkan demokrasi tanpa penipuan dan pembohongan. Biarlah generasi waktu muka berkata bahawa, generasi masa kini telah diuji dan menolak untuk mengakhiri pengembaraan mempertahankan destinasi kedaulatan 20 Perkara.
Bumiputera Sabah juga jangan mundur dari matlamat meneruskan anugerah kemerdekaan Sabah dalam konsep negara konfederasi Malaysia dan menghantarkannya dengan selamat buat generasi masa depan.
Saya faham bahawa, paradigma ini belum lengkap atau sempurna dalam usaha memberi gambaran jelas tentang konsep negara konfederasion. Namun begitu, memadailah untuk menjadi sandaran asas oleh para politikus atau cendekiawan Sabah untuk menghuraikannya secara lebih mendalam dan ilmiah demi faedah bersama Sabahan.
Dengan ungkapan lain, paradigma ringkas tentang konsep negara konfederasion ini, biarlah dilengkapkan atau disempurnakan oleh para pengamal politik Sabah kini dan seterusnya!
No comments:
Post a Comment