Wednesday, 5 October 2011

RAM JANGKA BAJET 2012 TINGKATKAN AGREGAT



BAJET 2012, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober dijangka meningkatkan permintaan agregat dengan penaikan taraf industri dan sokongan perniagaan dijangka terus tinggi, kata RAM Holdings Bhd.

RAM berkata bajet tahun depan dijangka menumpukan kepada menangani kos hidup yang tinggi, terutamanya bagi segmen pendapatan rendah hingga sederhana, dan meningkatkan kecekapan menerusi liberalisasi pasaran, serta mengurangkan kos perniagaan.

"Orang ramai masih bimbang dengan kos hidup yang tinggi walaupun perangkaan nampaknya menunjukkan inflasi berada pada paras pra-kemelesetan yang boleh diurus," kata agensi penarafan itu sambil menambah inflasi makanan meningkat dengan pantas berbanding keseluruhan inflasi, pada sekitar lima peratus.

Oleh itu, RAM berkata pengagihan kekayaan kepada isirumah pendapatan rendah seperti pindahan tunai, boleh ditimbangkan oleh kerajaan dalam cadangan Bajet 2012.

"Program ini pastinya disambut baik kerana ia akan menambah baik kemampuan bagi strata ekonomi rendah di samping menambah kesan berganda kepada permintaan agregat dalam ekonomi domestik," kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia juga berkata kerajaan dijangka memperkenalkan lebih banyak langkah-langkah untuk menyediakan operasi perniagaan lebih kos efektif di samping menangani halangan dalam menjalankan perniagaan dan pelaburan.

"Ini dijangka menambah baik iklim pelaburan domestik dan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing," kata RAM.

Agensi penarafan itu berkata kerajaan juga dijangka meningkatkan keupayaan menjana pendapatannya tahun depan untuk membiayai objektif sosio ekonominya bagi tahun itu.

"Meskipun beberapa komponen pendapatan dijangka kekal stabil berbanding pertumbuhan, seperti cukai korporat domestik, mungkin terdapat perubahan besar dalam sumber pendapatan lain tahun depan," kata RAM.

Ia menjangka duti eksais ditingkatkan kerana keperluan pembiayaan kerajaan dijangka meningkat tahun depan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment