Oleh : NEWMOND TIBIN
PERSATUAN Bekas Tentera Bahagian Negeri Sabah (Beliawira) melihat peluang-peluang pekerjaan yang banyak diwujudkan oleh Petronas di negeri itu sebagai ‘Hadiah 1Malaysia’ untuk penduduk Sabah.
Pengerusinya, Muhammad Firdaus Joseph Abdullah berkata pendekatan syarikat minyak negara itu yang memberi keutamaan dalam melibatkan penduduk tempatan dalam kebanyakan projeknya di Sabah, disambut baik dan selari dengan konsep penyayang 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebagai contoh, Projek Baja Ammonia Sabah (SAMUR), oleh Petronas Chemicals Group Bhd di Sipitang, menyaksikan pewujudkan kira-kira 400 pekerjaan apabila ia beroperasi sepenuhnya dan penduduk tempatan berpeluang memperoleh manfaatnya, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Kilang baja itu merupakan kemudahan pengeluaran baja terbesar tunggal di Asia Tenggara dengan kapasiti tahunan sebanyak 1.2 juta metrik tan.
Keluarannya akan dieksport serta menampung keperluan pertanian tempatan.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman baru-baru ini berkata banyak syarikat di Sabah juga dijangkakan memperoleh kontrak bernilai lebih RM600 juta dalam projek Kilang Samur bernilai RM4.6 bilion itu.
Syarikat tempatan terbabit akan melaksanakan kontrak kerja-kerja awam, pembinaan kompleks pentadbiran, jalan dan jeti selin kerja tanah, pengangkutan darat serta bekalan tenaga.
Firdaus berkata selain SAMUR, Petronas juga sedang melaksanakan projek besar lain seperti Projek Minyak dan Gas Bersepadu Sabah-Sarawak dan Terminal Minyak dan Gas yang sudah pastinya akan menyediakan pekerjaan kepada masyarakat tempatan.
"Yang nyata kita akan melihat masa depan yang lebih baik dalam kalangan penduduk, terutama golongan muda, dari segi pekerjaan dan peluang-peluang perniagaan dengan Petronas di Sabah.
"Kami berterima kasih kepada Petronas atas komitmen mereka dalam memajukan industri minyak dan gas di Sabah yang secara langsung mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk penduduk," katanya.
Firdaus turut menyambut baik keputusan Petronas menubuhkan pusat latihan dan pembelajaran di Kimanis bagi meneydiakan program latihan dan kursus untuk penduduk Sabah supaya mereka mudah disesuaikan dengan banyak segmen minyak dan gas serta industri yang berkaitan.
Pusat latihan bernilai RM50 juta itu dijangkakan siap pada 2013.
No comments:
Post a Comment