MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan demonstrasi di Kedutaan Malaysia di Jakarta adalah disebabkan oleh permainan politik murahan oleh pembangkang di negara itu.
Beliau berkata isu sempadan Malaysia-Indonesia yang merupakan punca rusuhan itu tidak seharusnya timbul kerana tiada pencerobohan yang berlaku di kawasan terbabit, dan ia merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab oleh anggota Parlimen yang terlibat.
"Kita cuma menjadi mangsa kerana sasaran itu bukan kita tetapi adalah politik di Indonesia dan mereka menggunakan Malaysia sebagai alasan dan ini adalah politik yang saya anggap murahan dan tidak bertanggungjawab kerana ia melibatkan sebuah negara yang berdaulat iaitu Malaysia.
"Saya mengesyorkan dan meminta ahli-ahli Parlimen yang membuat tuduhan-tuduhan liar itu supaya memberhentikannya oleh kerana mereka tidak akan mengetahui tentang implikasi negatif dan besar akan berlaku sekiranya ianya berterusan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Jepun Koichiro Gemba di Wisma Putra di sini Khamis.
Dalam kejadian tengah hari semalam, sekumpulan 650 orang dari kumpulan dikenali Forum Betawi Rempug (FBR) mengadakan demonstrasi dan bertindak liar depan Kedutaan Besar Malaysia sehingga menyebabkan cermin pos pengawal dan beberapa lampu pagar kedutaan pecah hingga melukakan sembilan anggota polis yang berkawal di situ.
Penunjuk perasaan itu dikatakan membantah tindakan Malaysia yang didakwa kononnya mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat, setelah ia dibangkitkan di Parlimen Indonesia hujung minggu lalu.
Dakwaan di Parlimen itu bagaimanapun segera disangkal beberapa menteri kabinet Indonesia kerana ia tidak berasas.
Anifah berkata sekiranya berlaku perubahan sempadan tanpa sengaja atau dibuat oleh individu-individu tertentu, ia bukanlah masalah kerana pasukan peninjau dari kedua-dua negara akan bekerjasama turun ke kawasan berkenaan untuk menetapkan batu perbatasan itu. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment