Friday 7 October 2011

PEMUDA TENOM DEKATI PENGUNDI MUDA



MESRA…Jamawi bersalaman dengan masyarakat setempat sejurus tiba bagi merasmikan program bersama belia di kampong Pulong Tenom.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PERGERAKAN Pemuda Umno bahagian Tenom akan memberikan tumpuan untuk mendekati seramai mungkin pengundi muda di kawasan tersebut yang kini dianggarakan melebihi 10,000 orang.

Ketuanya, Jamawi Jaafar berkata tumpuan perlu dilakukan lebih kerap melalui program pemuda kerana pada pilihan raya akan datang golongan ini akan menjadi tumpuan bagi parti politik ‘memikat generasi muda’.

Menurutnya selain pendekatan bersua muka, Pemuda juga turut melaksanakan program seperti ceramah, gotong royong, ziarah rumah ke rumah, mendampingi masyarakat, bersukan, program pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Katanya, program yang dilaksanakan memerlukan kepelbagaian dalam pendekatan untuk menarik minat anak muda ini. Bentuk pendekatan yang diambil perlu juga mempunyai kepelbagaian yang boleh menarik minat kumpulan anak muda yang berbeza-beza.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tenom, selepas mengetuai Pergerakan Pemuda Umno Tenom merasmikan kejohanan Fustal Zon Lagud Sebarang Tenom dan Program Bersama Pemuda di Kampung Pulong.

DIHARGAI…Jamawi menerima cendera kenangan daripada pihak penganjur ketika merasmikan program bersama pemuda di Kampung Pulong.

KEMUDAHAN…Jamawi turut menyampaikan sumbangan berupa kompang semasa merasmikan program bersama pemuda di kampong Pulong.

JIWA PEMUDA…Jamawi ketika merasmikan kejohanan Futsal Zon Lagud Seberang, Tenom.

CITARASA …Antara program Pergerakan Pemuda Umno Tenom berkonvoi menaiki motosikal ke daerah Ranau.

Sebelum ini, Pegerakan Pemuda Umno Tenom juga turut mengadakan program Percambahan Minda di Balai Raya Kampung Jawa Sumbiling dan Program Derma Darah anjuran Pemuda BN di Hospital Daerah Tenom.

Menurut Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, semasa program turun padang ini isu yang diperjuangkan oleh Pergerakan Pemuda Umno juga turut diperjelaskan kepada golongan belia di peringkat akar umbi antaranya dana Belia 1Malaysia, Rumah Pertamaku, Jelajah One Malaysia (JOM) BN Youth Job Fair dan BN YES (Youth Education Scholorship).

Jamawi menambah, sebagai agen perubahan akar umbi, pergerakan pemuda perlu peka kepada permasalahan orang muda dan membawa isu yang dekat dengan orang muda; walaupun kadang-kadang kumpulan orang muda itu dan isu yang dibawa bukanlah isu atau sasaran tradisional kita.

“Anak muda perlukan muafakat baru pemimpin muda, yang boleh mengolah isu orang muda dan mengangkatnya dengan sebaik mungkin di persada kebangsaan. Pada masa yang sama, tumpuan kepada pembinaan organisasi tidak boleh diabaikan kerana kita sudah melepasi era bergantung kepada sentimen semata-mata,” kata Jamawi yang memaklumkan Program Percambahan Minda golongan ini bagi mencari maklum balas, di samping menjelaskan info tentang dasar dan program kerajaan.

No comments:

Post a Comment