Saturday 29 October 2011

SEKOLAH DALAM HOSPITAL AKAN DIPERLUAS



SEKOLAH Dalam Hospital (SDH) akan diperluaskan ke enam hospital awam di beberapa negeri mulai tahun depan, kata isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman Jumaat.

Ini berikutan kejayaan projek perintis di tiga hospital di Lembah Klang-Hospital Besar Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang.

Beliau berkata, tapak yang sesuai dalam kawasan setiap hospital berkenaan sedang dikenalpasti.

Ia bagi memastikan matlamat pengwujudan SDH oleh Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Yayasan Nurul Yaqeen benar-benar memberi manfaat kepada kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga 18 tahun.

"SDH ini untuk kanak-kanak yang ketinggalan pelajaran kerana terpaksa menerima rawatan di hospital," katanya.

Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen itu berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan melawat tapak yang sesuai untuk pembinaan SDH di Hospital Sultanah Aminah.

Norainee berkata SDH akan turut diwujudkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas di Sabah dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah.

Hospital lain yang turut terlibat ialah Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan; dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur.

Sehingga kini, purata kanak-kanak dan remaja yang menghadiri SDH di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur ialah antara 60 hingga 80 orang.

Hospital Serdang dan Hospital Ampang pula masing-masing antara 20 hingga 50 orang dalam seminggu. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment