Wednesday, 12 October 2011

60 PERATUS PENGHUNI PENJARA WARGA ASING



PERIKSA…. PKP Faridon Md.Saad sedang memeriksa kawalan kehormat sejurus tiba di majlis Serah dan Terima Tugas Pengarah Penjara Sandakan.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

PENGARAH Penjara Sabah, Penolong Kanan Komisioner (PKK), Suria Haji Idris, berkata masalah kesesakan penghuni penjara di seluruh negeri Sabah akan dapat di atasi sepenuhnya apabila kompleks bagi Pusat Latihan Koreksional Wilayah Persekutuan Labuan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Kata Suria, kompleks yang menelan kos sebanyak RM35 juta itu boleh menampung 300 banduan lelaki dan wanita dalam satu-satu masa.

"Pembinaan kompleks ini adalah bagi mengurangkan kesesakan di penjara-penjara seluruh negeri. Kita yakin dan percaya apabila ia siap nanti maka masalah tersebut akan dapat diatasi sepenuhnya," katanya kepada Wartawan semasa ditemui pada Majlis Serah dan Terima Tugas Pengarah Penjara Sandakan di perkarangan Jabatan Penjara Sandakan di Jalan Sibuga, Batu 5, dekat sini, kelmarin.

Ditanya mengenai masalah kesesakan yang berlaku, Suria memberitahu bahawa ia disebabkan 60 peratus daripada penghuni penjara merupakan warga asing dari negara Filipina dan Indonesia.

Katanya, sudah tentu populasi warga asing yang sangat tinggi itu menyebabkan penjara-penjara sedia ada tidak dapat menampung lagi banduan-banduan warga asing yang terlibat dalam pelbagai kesalahan seperti Imigresen, jenayah, dadah dan sebagainya.

Tambah beliau lagi pihaknya turut membina blok tambahan melibatkan Penjara Sandakan dan Penjara Tawau sebagai memenuhi tuntutan dan keperluan semasa.

"Ini menjadi tanggungjawab jabatan untuk menambahbaik keperluan sebagai satu usaha mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan selaras dengan visi dan misi jabatan tersebut," jelasnya.

Sebelum itu, beliau menyaksikan serah dan terima tugas di antara mantan Pengarah Penjara Sandakan iaitu Penolong Komisioner Penjara (PKP), Mat Johir Asin @ Hashim dengan Pengarah Penjara Sandakan yang baru, PKP Faridon Md.Saad.

No comments:

Post a Comment