Tuesday 11 October 2011

BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERAKAN NEGARA



TAHNIAH…..Kamarlin ketika menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang pelajar di majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PEMBENTANGAN Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak memenuhi kehendak rakyat sesuai dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Haji Ombi berkata, bajet 2012 telah memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan komited memenuhi harapan rakyat samada di bandar dan luar bandar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Klinik Bimbingan Peperiksaan SPM Kelab TaHA anjuran Lembaga Tabung Haji dan akhbar Berita Harian di Beaufort ketika diminta mengulas pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Jumaat lalu.

Kamarlin yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Sipitang turut menyifatkan Bajet 2012 yang bertemakan ‘Membela Rakyat, Mensejahterakan Negara’ itu sebagai amat cemerlang,

Katanya, pemansuhan yuran pendidikan rendah dan menengah di semua sekolah kerajaan membuktikan komitmen tinggi kerajaan memartabatkan pendidikan sebagai pemangkin kepada kemajuan negara menerusi pembangunan modal insan.

Tambahnya, peruntukan berbilion ringgit untuk pembangunan infrastruktur luar bandar juga menunjukkan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional untuk memastikan rakyat di laur bandar mendapat pembelaan dan merasai nikmat pembangunan.

Sebagai pemimpin yang mewakili masyarakat di kawasan pedalaman, Kamarlin berkata, rakyat di kawasan itu akan terus memberi sokongan kepada kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib yang sentiasa mengutamakan penyelesaian terhadap permasalahan rakyat.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis tersebut, Kamarlin berkata, kerajaan komited terhadap agenda pembangunan modal insan cemerlang di negara ini. Ia terbukti sejak negara mencapai kemerdekaan kerajaan sentiasa berusaha memastikan institusi pendidikan sama ada di peringkat rendah, menengah hingga universiti terbela dan mendapat bantuan sebaiknya.

Beliau berkata, kini rakyat negara ini mendapat pendidikan secara percuma apabila yuran sekolah dimansuhkan. Justeru, tidak ada lagi alasan mengapa ibubapa tidak dapat menghantar anak2 mereka ke sekolah.

Tambahnya, penubuhan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kini telah berjaya melahirkan ribuan graduan menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan pendidikan di Sabah.

Kamarlin bagaimanapun berkata, kerajaan boleh menyediakan prasarana pendidikan bertaraf dunia. Bagaimanapun usaha melahirkan pelajar yang cemerlang memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibibapa, guru dan masyarakat secara keseluruhan.

Seramai 253 pelajar yang menduduki SPM dari Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu menyertai klinik bimbingan tersebut sebagai persiapan menghadapi SPM kerana mereka diajar teknik menjawab soalan.

No comments:

Post a Comment