INTERNATIONAL....Nama International tetapi perkhidmatan ala setinggan. Remy menunjukkan pembentung najis yang tersumbat dan melimpah.
Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
KEGAGALAN Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Jabatan Kerjaraya (JKR) yang gagal menyelenggara dan memastikan pembentungan najis di International Building, Batu 2.5, Jalan Utara, Sandakan sejak setahun telah menimbulkan kemarahan penduduk kerana najis berlimpahan keluar dari pembetung sehingga menimbulkan busuk yang meloyakan.
Seorang pesara, Remy Rosman, 58, yang tinggal di 5C, Tingkat Bawah, International Building menghubungi Sabahkini.net dan mengiringi tinjauan rambang bersama, kesal kerana MPS dan JKR saling tuding menuding jari, namun enggan datang memeriksa sehingga penduduk yang membayar cukai pembentungan terpaksa menghidu bau najis yang tidak dirawat.
Menurut Remy, berkata perkara ini sudah dimaklumkan kepada Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Ir James Wong dan beliau datang bersama-sama pegawai kanannya ke tempat tersebut membuat tinjauan tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil untuk mengatasi masalah tersebut.
“Mereka menjanjikan akan menyelesaikan tersebut dalam kadar segera, tetapi setelah setahun berlalu masalah masih berterusan dan batang hidung merekapun tidak kelihatan lagi,” jelas Ramy yang turut mengajukan masalah yang sama kepada Jabatan Kerjaraya.
JKR pula, kata Remy, memberi alasan bahawa mereka hanya bertanggung jawab terhadap pembetungan najis di luar bangunan dan bukannya di kawasan bangunan; yang kata JKR di bawah bidang kuasa MPS.
Persoalannya, kata Remy, penduduk tidak tahu di mana punca pembetung tersebut tersumbat kerana mereka hanya pembayar cukai yang mahukan perkhidmatan terbaik dan bukannya menyelia dan menyelenggara pembetung najis.
“Kenapa JKR dan MPS tidak datang melakukan pemeriksaan bersama kerana besar kemungkinan berpunca daripada Tangki Rawatan Najis kerana kumbahan daripada pembetung MPS tidak dapat disalurkan ke tangki milik JKR. Akibatnya kumbahan termasuk najis melimpah keluar,” kata Remy yang kesal dengan sikap tuding menuding jari seperti lagu ‘Bangau Oh Bangau’.
No comments:
Post a Comment