Saudara Pengarang,
SAYA ingin meluahkan rasa tidak puas hati dengan sikap tidak professional doktor yang bertugas di Hospital Keningau ekoran nasib malang yang menimpa anak saudara saya yang dilahirkan melalui Ceasarian pada 30 September 2011.
Kami hairan kerana bayi yang dilahirkan hanya dihantar kepada kakak saya antara 40 minit sehingga satu jam selepas Ceasarian, sedangkan sepatutnya terus bersama ibunya sebaik sahaja selepas dilahirkan kerana tidak menghadapi sebarang masalah.
Kami amat terkejut kerana ketika membuka tuala yang menutup kepala bayi berkenaan kami dapati dua luka kecil seolah terkupas di sekitar pusar di kepalanya kira-kira 0.4 cm hingga 0.7cm.
Malangnya, apabila kakak saya merujuk kecederaan bayi tersebut kepada Pakar Bedah, beliau menyatakan bahawa itu bukan luka, sebaliknya ‘Birthmark’ atau tanda lahir.
Kami keliru kerana jika Birthmark, kenapa kelihatan merah dan seakan-akan baru sahaja terkupas. Persoalannya kenapa doktor dan para petugas tidak memberitahu kepada kakak saya berhubung luka di kepala anak saudara saya itu?
Kenapa mereka mahu menyembunyikan perkara tersebut dari pengetahuan kakak saya? Bagaimana kalau kesan melecet itu akibat terjatuh atau terhentak objek keras? Adakah mereka ingin menutup kesalahan dengan tidak mahu mengaku salah di atas kesalahan atau kecuaian mereka sendiri?
Saya berharap agar para doktor dan jururawat yang bertugas di hospital tersebut dapat berkhidmat dengan jujur dan ikhlas. Setahu saya tugas doktor adalah menyelamatkan nyawa atau kesihatan pesakit dan bukannya memudaratkan kesihatan ibu dan anak yang mendapatkan rawatan daripada hospital tersebut.
Salam Hormat,
AUNTIE KECEWA
No comments:
Post a Comment