Sunday, 2 October 2011

LEE CHEE LEONG, MUSUH NOMBOR 1 RAKYAT SABAH?



Oleh : MUTALIB M.D

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Dato’ Lee Chee Leong adalah ‘Musuh Nombor 1’ rakyat Sabah kerana membuat kenyataan rambang sehingga menyakitkan hati rakyat Sabah yang telah menderita akibat kecurangan Kerajaan Persekutuan yang gagal menjaga keselamatan dan kedaulatan Sabah.

Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu berkata demikian ketika menghubungi Sabahkini.net sebagai mengulas kenyataan tidak bertanggung jawab Lee yang disiarkan dalam media tempatan kelmarin.

“Menafikan IC Projek tidak wujud di Sabah sama juga menafikan ‘Fixed Deposit’ Barisan Nasional di Sabah kerana golongan PATI yang mendapat kerakyatan secara tidak sah adalah hamba abdi yang diternak BN untuk memenangkan BN setiap kali pilihanraya sejak 1994,” kata Patrick yang mendesak Lee memohon maaf secara terbuka kerana mengguris hati rakyat Sabah.

Penafian Lee bermakna Kerajaan Persekutuan telah menganiaya kerana membuat penangkapan secara tidak sah terhadap 15 orang Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara dan 25 orang awam di Sabah pada 1995 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa terlibat dalam Skandal IC Projek.

“Kesemua maklumat ini boleh dibaca dan dicapai melalui buku IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; Projek Agenda Tersembunyi Mahathir; Pengundi Untuk Disewa; dan 007 Lelaki Malaysia Terakhir,” kata Patrick yang menyifatkan Lee sebagai buta sejarah dan tidak mengetahui bahawa ada rakyat Sabah telah menemui DYMM Yang Di Pertuan Agung dan Perdana Menteri berhubung isu ini.

Dalam hal ini kata Patrick, Lee hanya perlu mengambil contoh bagaimana Adun Sebatik, Muis Picho boleh mendapat MyKad sedangkan sebelum ini beliau adalah penduduk tetap yang telah menyerahkan kad pengenalan merahnya untuk meninggalkan Malaysia setelah mengeluarkan semua simpanan KWSPnya.

“Bila dia datang kembali, dia dapat IC biru. Mustahil Jabatan Imigresen tidak ada simpan rekod beliau sedangkan KWSP masih menyimpan rekod lamanya. Jika PATI yang dapat IC Projek boleh jadi Adun, esok lusa mereka boleh jadi Ketua Menteri dan Perdana Menteri Malaysia,” kata Patrick yang jengkel dengan sikap ‘Tidak Peduli’ Menteri Dan Timbalan Menteri Dalam Negeri berhubung isu ini.

Patrick menegaskan, adalah lebih baik jika Kerajaan Persekutuan menubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD) sebagaimana mereka telah dengan mudah menubuhkan SSD untuk Kes Teoh Beng Hock yang tidak memberikan sebarang makna kepada rakyat Sabah.

No comments:

Post a Comment