Wednesday, 19 October 2011

MPS BURU KUTU SAMPAH




PERBUATAN membuang sampah sesuka hati terutama melibatkan kawasan awam adalah merupakan satu kesalahan dan pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan kepada mereka yang engkar.

Presiden MPS, Datuk Ir.James Wong, menegaskan semua pihak perlu mematuhi peraturan telah ditetapkan kerana ia bertujuan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

Beliau berkata, pihaknya sedang memperhebatkan Kempen Anti Kutu Sampah yang dijalankan bagi memastikan bandar ini ‘Bebas Sampah’ dan orang ramai perlu memberi kerjasama supaya misi dan visi tercapai.

Katanya, kebersihan di bandar Sandakan adalah tanggungjawab bersama tambahan pula pelancong dalam dan luar negara menjadikan bandar ini sebagai lokasi pelancongan yang perlu dikunjungi.

“Tetapi, kalau masyarakat sendiri tidak memberi kerjasama yang diharapkan maka sukar untuk merealisasikan matlamat yang telah dirancangkan. Saya selalu menekankan aspek kebersihan menjadi keutamaan kita,” jelasnya.

James menyatakan demikian ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Kolej Tanpa Sampah di Kolej Kejururawatan Sandakan, di sini, kelmarin.

Pengiktirafan kepada kolej berkenaan adalah atas sumbangan dan komitmen serta sikap dedikasi seluruh warganya yang amat mementingkan aspek kebersihan dengan mengekalkan kebersihan sekeliling.

Pada majlis ringkas tersebut, James turut menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Ketua Penilaian dan Kualiti Kolej Kujururawatan Sandakan, Jepsi @ Jipsi Ngangie sambil disaksikan tenaga pengajar dan jururawat pelatih.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada kolej ini diatas pengiktirafan sebagai kolej tanpa sampah. Apa yang penting sekali ialah seluruh warga kolej ini terus bergiat aktif dalam membantu memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan, dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat kerana kesedaran itu bermula dari diri sendiri,” tambahnya.

Beliau yakin dan percaya kolej itu akan menjadi contoh sebagai sebuah kolej paling bersih disamping boleh berganding bahu dengan MPS dalam usaha menjaga kebersihan bandar Sandakan menerusi Kempen Anti Kutu Sampah yang dijalankan.

Terdahulu, Jepsi merakamkan terima kasih kepada pihak MPS diatas pengiktirafan itu sambil mengajak seluruh warga khususnya jururawat pelatih sentiasa menjadi ‘Role Model’ terhadap penjagaan kebersihan.

Ujarnya, pihak kolej akan memberi kerjasama soal penjagaan kebersihan apatah lagi warga kolej terutama jururawat pelatih yang dilantik sebagai duta dalam usaha membanteras pencemaran sampah melalui Kempen Anti Kutu Sampah.

No comments:

Post a Comment