by : Yap Siong Han
HASAN (tengah) dan Jainab
menunjukkan tanda bagus sebagai simbolik bekalan diesel subsidi mencukupi.
KOTA KINABALU: Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Korperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberikan
jaminan bahawa bekalan diesel subsidi di Sabah mencukupi untuk musim perayaan.
Menteri PDNKK, Datuk Hasan
Malek berkata keadaan bekalan diesel subsidi sudah kembali seperti biasa
berikutan tindakan-tindakan proaktif yang diambil sebelum ini dengan penambahan
jumlah kuota diesel subsidi kepada depot-depot untuk menghantar ke seluruh
Sabah.
“Saya turun padang hari ini
(kelmarin) untuk meninjau keadaan dan mendapati keadaan sudah pulih seperti
biasa, tiada lagi barisan yang beratur panjang bagi mendapatkan bekalan itu.
“Oleh itu, saya ingin
memastikan bahawa penguatkuasaan KPDNKK akan ditingkatkan lagi bagi memastikan
perkara yang sama berulang di masa hadapan,” katanya kepada pemberita ketika
ditemui di sini kelmarin.
Beliau berkata, lawatan yang
dilakukan bersama pegawai KPDNKK yang lain di depot-depot Petronas dan Shell
didapati tidak menghadapi masalah bekalan bagi musim perayaan.
Walau bagaimanapun, Hasan
kecewa dengan 12 pengusaha yang didapati bersalah dan telah diambil tindakan
berdasarkan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Mereka atau individu yang
didakwa berdasarkan akta ini akan diheret ke mahkamah dan denda
sekurang-kurangnya RM100 ribu atau RM300 ribu atau tiga tahun penjara mengikut
kesalahan.
“Duabelas kes kesalahan itu
termasuklah tujuh kes di Sabah, tiga di Sandakan dan dua di Tuaran. Bagi
syarikat yang melakukan kesalahan, mereka boleh didenda sekurang-kurangnya
RM250 ribu dan membatalkan lesen perniagaan,” katanya.
Menurutnya, sekiranya bukti
yang diperolehi jelas menunjukkan kesalahan syarikat itu, pesalah bukan sahaja
disenarai-hitamkan tetapi mereka tidak dibenarkan berniaga kembali walaupun
mendaftar menggunakan nama orang lain.
Katanya, pihak KPDNKK tidak
berkompromi dengan pesalah-pesalah itu kerana kesalahan yang dilakukan itu
melibatkan kebajikan rakyat.
“Mereka yang ingkar ini
adalah mereka yang tidak mahu menjual diesel subsidi kepada orang awam dengan
alasan tiada bekalan, sebenarnya mereka mempunyai bekalan yang mencukup dan
mereka ingin menjual kepada pihak industri untuk mendapatkan keuntungan yang
lebih.
“Saya meminta kerjasama
daripada orang awam sama-sama membantu KPDNKK untuk mengenalpasti mereka yang
menyeludup bekalan ini dan buat aduan ke talian 1800 886 800,” katanya.
Hasan juga memberikan
jaminan bahawa tindakan lebih cepat dan tegas akan diambil bagi mengharmonikan
keadaan.
Beliau berkata, kuota
tambahan yang ditambah itu adalah untuk sementara sahaja, bagi langkah jangka
panjang, KPDNKK akan membuat kajian dan berbincang dengan persatuan-persatuan
berkaitan untuk menyelesaikan masalah itu.
Hasan juga menjelaskan
bahawa cadangan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk
Jainab Ahmad Ayid mengenai mewujudkan pusat pengumpulan dan juga
cadangan-cadangan dari pihak lain akan dibawa ke mesyuarat kementerian akan
datang. (THEBORNEOPOST)
No comments:
Post a Comment