Tuesday, 30 July 2013

NASIR YAKIN SEDCO MAMPU TERUS JADI KATALIS PEMBANGUNAN EKONOMI MANTAP


Oleh:ARSHAD HUSSIN




KOTA KINABALU: Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO),Dato Sri Nasir Tun Sakaran,yakin perbadanan itu akan terus menjadi katalis pembangunan ekonomi negeri yang mantap pada masakini dan di masa depan.

Sehubungan itu,katanya selain meningkatkan perkhidmatan dan prestasi bidang atau produk sedia ada, perbadanan itu yang di bawah kepimpinan pengerusi dan pengurus serta kerja kuat dan komitmen seluruh kakitangan masing-masing, akan terus gigih meneroka pelbagai usaha baru bagi menjadikan kumpulan SEDCO kekal sebagai jentera pembangunan ekonomi negeri yang ulung.

Nasir berkata, bagi memastikan SEDCO terus relevan dalam arus pembangunan perdana pada masa kini, maka komitmen setiap individu dan entiti hendaklah digerakkan dengan bersepadu dan proaktif pada sepanjang masa serta sentiasa bergerak secara kolektif, pantas dan bijak dalam menjayakan segala objektif yang ingin dicapai.

Beliau berkata demikian sempena Perjumpaan dengan Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif (CEO’S) Syarikat-Syarikat Kumpulan perbadanan itu di sini.



KENANGAN CEO'S...Dato Sri Nasir (duduk tengah);Datuk Samsudin (lima kanan);Datuk Awang Sham(empat kiri);Datuk Hendrynus Amin(empat kanan);Maisuri Besri(lima kiri) Pengiran Saifuddin(dua kanan); mengabadikan gambar kenangan bersama sebahagian CEO's Syarikat-Syarikat Kumpulan Sedco dan Pengrus-Pengurus syarikat Sedco di Wisma Sedco.



Hadirsama sempena majlis itu Pengurus Besar Kumpulan SEDCO,Maisuri Besri; Pengerusi Cement Industries (Sabah) Sdn.Bhd.,Datuk Samsudin Yahya;Pengerusi Sedcovest Holding Sdn Bhd.,Datuk Hj.Awang Sham Hj.Amit;Pengerusi Lahad Datu Flour Mill Sdn.Bhd.,Datuk Hendrynus Amin;; Pengurus Besar Sedcovest Holding Sdn Bhd.,Jusli Potoh; Pengarah Urusan SUDC,Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir  serta pengurus-pengurus dan pegawai-pegawai kanan Sedco.

Nasir berkata, bagi mencapai objektif Wawasan 2020 seperti yang dicadangan mantan Perdana Menteri,Tun Dr.Mahathir Mohammad, pembangunan ekonomi perlu memenuhi pertimbangan sosio-ekonomi, geo - politik, dan psiko - budaya masyarakat keseluruhannya.

Dengan kata lain, gerakan membangun ekonomi tidak semata-mata menekankan perubahaan yang drastik, seperti mengubah wajah luar bandar menjadi bandar. Sebaliknya, mengisi atau menukar ruang yang luas di kawasan luar bandar menjadi peluang yang boleh dikongsi sama rata dengan masyarakat di sesuatu tempat itu.

Sehubungan itu kata Nasir,telah tiba masanya SEDCO perlu membuat anjakan modus operandi yang bersesuaian dengan terus menggandakan usaha menyemarakkan potensi seperti ini.

Nasir menambah, SEDCO juga mampu menyemarakkan sama usaha meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar menerusi program kerajaan “Satu Daerah, Satu Produk.”
Sehubungan itu, tambahnya SEDCO dan syarikat-syarikat kumpulannya mungkin boleh bersama menjayakan potensi produk yang ada, dan secara langsung dapat memakmurkan dan mengangkat industri desa ke peringkat antarabangsa.

Katanya,langkah itu juga dilihat sebagai suatu obligasi sosial SEDCO dalam memastikan “balance growth” atau pembangunan seimbang di antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dilakukan dimana pembangunan seperti ini boleh memberi manfaat jangka panjang kepada para penduduk negeri ini khususnya.

Nasir berkata,dalam dunia korporat yang penuh cabaran dan persaingan, konsep “Survival of the Fittest” sering menjadi dogma (kepercayaan yang tidak boleh diragukan) yang tidak boleh dielakkan.

Hal ini katanya, memberi gambaran bahawa hanya syarikat yang mampu bersaing akan maju dan terus berada dalam industri.

Namun pada ertikata yang lain pula, bagi syarikat yang mempunyai sumber yang banyak  dan menerima dana sokongan yang kuat daripada kerajaan umpamanya, mereka akan berasa selesa dengan kedudukan yang dikecapi.

Tambahnya lagi,dalam hubungan ini, usaha mempertingkatkan pembangunan insan dalam kalangan warga kumpulan SEDCO perlu terus dipergiatkan.

Ini adalah kerana usaha meningkatkan kemampuan individu dengan ilmu-ilmu yang berkaitan adalah suatu proses yang berterusan.

“ Kita sangat menggalakkan agar hubungan baik sesama kakitangan dapat dipertingkatkan sepanjang masa melalui pelbagai program yang tersusun. Kita mahu melihat SEDCO sebagai sebuah organisasi yang maju dan perkasa kerana ikatan kekuatan dalamannya., dimana teamwork spirit yang tinggi dalam kalangan warganya pasti akan menghasilkan mutu kerja yang berkualiti dan berimpak tinggi,” kata Nasir.

Selain itu Nasir yakin  pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh SEDCO untuk mencapai sasaran “Key Performance Index” (KPI) yang ditetapkan justeru,segala bentuk usaha atau kerjasama dengan badan-badan yang mempunyai fungsi yang sama dengan SEDCO seperti perbadanan pembangunan ekonomi negeri-negeri di Malaysia perlu diperkasakan dan dalam masa yang sama perkongsian idea dengan perbadanan atau korporat asing luar Negara juga wajar ditingkatkan.

No comments:

Post a Comment