Kami mengutuk tindakan
tentera Mesir pada Sabtu lalu yang mengeluarkan arahan 'tembak untuk
bunuh' penyokong pro-Morsi di Kaherah
yang menunjuk perasaan secara aman.
Penjelasan yang diberikan
oleh kerajaan sementara untuk menjustifikasi tindak balas itu sebagai langkah
mempertahankan diri tidak boleh diterima berdasarkan pelbagai laporan bebas
mengenai kejadian itu.
Adalah jelas bahawa kerajaan
sementara berpakat dengan tentera untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai
terhadap penunjuk perasaan aman terutama ahli Ikhwan Muslimin untuk melemahkan
pergerakan dan melumpuhkan bantahan mereka terhadap rampasan kuasa tentera.
Tidak syak lagi bahawa
rampasan kuasa itu merampas kejayaan rakyat Mesir menumbangkan rejim Mubarak
pada 25 Januari 2011.
Dengan menggulingkan
Presiden Morsi yang dipilih secara demokratik dan meletakkan kerajaan sementara
yang berfungsi seperti boneka, tentera melanggar hak demokratik rakyat Mesir
dan pemerintahan era Mubarak dikembalikan melalui dekri ketenteraan.
Sikap dan reaksi masyarakat
antarabangsa, khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, jelas menunjukkan
"double standard" mereka apabila ia berkait dengan demokrasi bagi
kerajaan Islam. Nampaknya bagi Amerika, Kesatuan Eropah dan juga beberapa negara
Arab, antara diktator tentera dan kerajaan Islam yang dipilih oleh undi
popular, kediktatoran tetap pilihan yang lebih baik.
Kami menyeru masyarakat
antarabangsa untuk menamatkan kepura-puraan ini dan melakukan perkara yang
betul dengan meletakkan tekanan ke atas tentera Mesir untuk mengembalikan
kerajaan Morsi yang dipilih dengan sewajarnya, melepaskan mereka yang ditahan
tanpa syarat dan mengelakkan sebarang pertumpahan darah lagi.
* Mohamed Azmin Ali ialah
Timbalan Presiden PKR.
* Ini adalah pendapat
peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
(The Malaysian Insider)
No comments:
Post a Comment