Friday 14 October 2011

568 PESERTA CLIMBATON ANTARABANGSA



SERAMAI 568 peserta dari 28 negara menyertai kejohanan Climbaton Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-25 selama dua hari mulai 22 Okt ini untuk merebut hadiah keseluruhan berjumlah hampir RM260,000.

Pembantu Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Ellron Angin berkata Malaysia mencatat peserta terbanyak seramai 405 orang diikuti Singapura (33), Filipina (26) dan Jepun (18).

Jumlah peserta dari Semenanjung adalah seramai 230 orang melebih peserta dari Sabah (156) dan Sarawak (19), katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Ellron berkata pelari yang akan mengambil bahagian termasuk pemenang kategori lelaki terbuka tahun lalu, Marco De Gasperi dari Itali, Sudip Kulung dari Nepal dan penyandang juara Malaysia, Safrey Sumping.

Dalam kategori wanita, naib juara tahun lalu Anna Frost dari New Zealand akan turut serta di samping juara kategori wanita Malaysia, Danny Kuilin.

Ellron yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur kejohanan berkata pihak penaja kejohanan termasuk Kementerian Pelancongan, Celcom, Telekom Malaysia Berhad, Malaysia Airlines, Sutera Sanctuary Lodges, Exotic Adventure, International Skyrunning Federation, Spritzer dan Mcorry.

Persembahan kebudayaan ‘Rhythm of Kinabalu’ akan diperkenalkan buat kali sempena kejohanan yang dianggap perlumbaan dunia paling mencabar, katanya.

Beliau berkata kejohanan tahun depan dijangka lebih mencabar kerana dua kilometer lagi laluan akan ditambah merentasi Timpohon, Layang-Layang, Mesilau dan Kundasang. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment