MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sebagai tidak berasas tuduhan golongan tertentu di Indonesia kononnya Malaysia mencuri tanah republik itu.
Beliau berkata penentuan sempadan mengikut garis-garis darjah tertentu telahpun termaktub dalam perjanjian antara British dengan Belanda bertarikh 1891, 1915 dan 1928 dan pengukuran telah dibuat oleh pihak Malaysia dengan Indonesia dan kedua-dua pihak telah menandatangani persetujuan pengukuran itu.
"Kalau dituduh Malaysia ambil tanah itu, ini merupakan sesuatu dakwaan yang tidak benar," katanya pada sidang akhbar selepas majlis sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM2.58 juta daripada Affin Bank Investment Berhad di Kuala Lumpur.
Isu itu ditimbulkan oleh anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, T.B Hasanuddin, hujung minggu lepas yang mendakwa Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu, Kalimantan Barat, kononnya setelah diambil secara haram oleh Malaysia.
Bagaimanapun, empat menteri Indonesia, termasuk Menteri Luar Marty Natalegawa, dilaporkan menafikan dakwaan itu kerana ia tidak berasas.
Ahmad Zahid berkata memang benar terdapat beberapa kawasan yang belum selesai pengukurannya umpamanya Gunung Jagoi dan Gunung Raya di sektor Sarawak-Kalimantan Barat dan Sungai Simantipal dan Pulau Sebatik di sektor Sabah-Kalimantan Timur, dan Hasanuddin juga telah mengakui persempadanan itu sedang diukur.
Malangnya, kata beliau, maklumat benar itu tidak sampai kepada seluruh rakyat Indonesia termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan tunjuk perasaan di kedutaan itu Rabu.
Katanya penunjuk perasaan itu harus ingat bahawa masalah seperti itu adalah masalah kerajaan dengan kerajaan yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Sempadan Am.
"Tidak ada langsung niat kerajaan Malaysia untuk ambil satu inci pun tanah milik negara jiran. Cara terbaik adalah berlapang dada untuk menyelesaikan masalah ini, kerana di peringkat jawatankuasa teknikal, perkara ini tidak ada masalah, ia cuma salah faham," kata Ahmad Zahid.(BERNAMA)
No comments:
Post a Comment