TENTERA....Jika jip tentera boleh membawa buah sawit, apatahlah lagi pencuri biasa?
Saudara Pengarang,
WALAUPUN sudah beribu laporan polis dibuat, namun belum ada satu tindakan drastik yang dibuat oleh Polis Lahad Datu, malah menjadikan laporan polis yang dibuat mangsa sebagai peluang untuk mencari makan.
Sudahlah pengadu terpaksa menunggu lama di Balai Polis ketika ingin membuat aduan dan memberi kenyataan kepada Pegawai Polis yang bertanya pelbagai soalan yang tidak masuk akal, malah mereka suka mengukirkan janji kosong untuk datang menjalankan siasatan.
Tetapi setelah membuang masa berhari-hari menunggu mereka yang kononnya tahu tempat kejadian, mereka tidak juga muncul, malah kecurian semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal.
Ramai mangsa telah diminta salinan geran tanah, gambar kebun, salinan IC dan nama suspek, tetapi setelah diberi semua maklumat, pegawai polis yang menerima aduan atau yang mengambil kenyataan tidak muncul selama berbulan-bulan dan apabila dihubungi Balai Polis memaklumkan Pegawai itu kata ‘dia sedang bercuti’?
Kejadian kecurian buah sawit yang terjadi setiap hari, bermula dari Bikang hinggalah ke Tungku gagal dipantau polis, sebaliknya ramai pencuri yang sebelum ini menggunakan Proton Saga atau Kancil, kini sudah menggunakan pickup untuk menjalankan kegiatan haram mereka.
Persoalannya kenapa Polis Lahad Datu gagal mengekang kecurian buah kelapa sawit? Apakah kerana mereka mendapat habuan daripada pencuri buah atau pembeli buah? Bukankah menurut peraturan, setiap pembeli buah wajib meminta Salinan Lesen PORLA (MPOB) sebelum boleh membeli buah kelapa sawit?
Tetapi akibat rasuah yang berleluasa, termasuk desas desus ada dua pegawai kanan polis yang menjadi pembeli buah curi dan menjualkannya kepada pembeli buah berlesen, maka kejadian curi buah kelapa sawit di Lahad Datu seperti kegiatan membuang sampah di merata-rata tempat.
Kenapa tidak ada satu sistem pemantauan termasuk mengadakan pemeriksaan rambang kerana setiap Timbangan membeli buah sawit yang bebas membeli buah sawit tanpa sebarang pemantauan pihak berkuasa termasuk polis?
Lebih menjengkelkan, pegawai polis yang mengambil kenyataan mangsa bertanya apa bukti buah sawit itu milikmu? Adakah nama atau tanda pada setiap tandan?
Sehubungan itu, saya bagi pihak mangsa curi buah kelapa sawit, memberi amaran kepada Polis Lahad Datu, terutama Ketua Polis Daerah, Superintendan Samsuddin Mat agar menjalankan tugas dengan sebaik mungkin, kerana saya mempunyai bukti Polis, bukan sahaja bersubahat dengan pencuri; malah turut mencuri buah kelapa sawit di kawasan tanah milik orang kampung yang telah dikeluarkan daripada Felda tetapi dirampas oleh Pegawai Kanan Polis, termasuk beberapa Bekas OCPD Lahad Datu yang masih bekerja atau yang telah pencen.
Laporan awal telah kami buat kepada SPRM tetapi SPRM seperti turut bersekongkol dengan Pegawai Kanan Polis dengan melengahkan siasatan walaupun laporan telah saya dan rakan buat dua bulan lalu.
Mungkin dakwaan saya keterlaluan, tetapi cuba risik mana polis Lahad Datu yang tidak memandu kereta mewah dan memiliki rumah besar serta menyimpan gundik, walaupun hanya berpangkat Sarjan!
Jangan jadikan Lahad Datu sebagai ‘Syurga Pencuri’ setelah Lahad Datu mendapat gelaran ‘Killing Field’ dan ‘Land of PATI!’
Salam Hormat,
T. KARUTUD
No comments:
Post a Comment