Monday, 3 October 2011

PBRS IDAM PARLIMEN SEPANGGAR



BANTUAN….Ellron menyampaikan bantuan kepada warga tua diperharikan oleh Zamree dan Timbalannya, Abdul Tani Lo.

Oleh : ROZIE JUMAT

PARTI Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menggesa masalah mengenai kebanjiran pendatang tanpa izin dan IC Palsu diselesaikan dengan segera kerana masalah tersebut adalah satu isu yang sangat penting di negeri ini.

Timbalan Presiden PBRS, Datuk Ellron Angin berkata, PBRS melalui mesyuarat agung setiap tahun sering memberikan usul untuk menangani masalah pendatang asing di negeri ini dan mahu penyelesaian diambil segera.

“Isu ini sudah lama kita bangkit dan ungkit, kita (PBRS) mahu ini diselesaikan,” kata Ellron memberi reaksi kepada kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mendakwa tiada bukti mengenai Pojek IC Palsu di Sabah.

“Rakyat Sabah melihat sendiri dan kenyataan itu menyakitkan hati rakyat di negeri ini,” kata Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Beliau berkata demikian kepada wartawan di Majlis Program Bersama Rakyat Setempat Salam 1Malaysia N12 Karambunai P171 Sepanggar di Kg.Kuala Laut, Likas.

Kata Ellron, isu yang berpanjangan itu seharusnya diperhalusi dan diteliti kerana bagi rakyat Sabah isu itu sangat penting.

“Kita diberitahu tentang jumlah kehadiran pendatang asing di negeri ini tetapi kemudiannya kita diberitahu tidak ada bukti, ini mengelirukan; satu kenyataan yang mengelirukan,” kata Ellron.

Sementara itu, Ellron berkata tidak salah bagi PBRS untuk meminta kerusi tambahan bagi parti itu dalam pilihan raya akan datang dengan menamakan kerusi Parlimen Sepanggar, kerana kerusi itu kosong.

“PBRS mahu meminta kerusi Parlimen Sepanggar, kami tidak main tapuk-tapuk lagi, dan parti ini juga mempunyai calon yang berkebolehan,” ujar Ellron.

Turut hadir di majlis itu ialah Ahli Majlis Tertinggi PBRS, wakil UMNO Sepanggar dan Ketua Bahagian PBRS Karambunai, Dr.Zamree Gulam Rasul.

Sempena program itu turut diadakan pemeriksaan darah, penyampaian bantuan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal, warga tua dan juga pertandingan karaoke yang dianjurkan oleh PBRS Karambunai.

No comments:

Post a Comment