Oleh: THAMPPAREQ KITOES
RESTORAN Pelancongan Pedalaman, satu-satunya restoran berkelas ‘standard’ setakat ini beriltizam untuk menyahut seruan kerajaan agar menaiktaraf kemudahan prasarana yang sedia ada dan mampu menarik lebih ramai pelancong.
Malahan beberapa lanskap telah disusun atur untuk menceriakan lagi persekitarannya menggamit ciatarasa pengunjungnya.
Demikian dinyatakan Pengerusi Persatuan Pelancongan Pedalaman, Frankie Tamin yang juga merupakan pemilik restoran tersebut.
Beliau yakin bahawa dengan siapnya kerja-kerja mengubahsuai beberapa komponen lain dalam restoran itu, pasti akan memberikan kepuasan kepada setiap pengunjung, khususnya pelancong luar yang akan bersantai di situ kelak.
“Setakat ini, kita telah pun menerima pelancong luar daripada China, Jepun, Taiwan dan juga pelancong dari Eropah. Tetapi setakat ini kita tidak pernah menerima teguran mahupun komplen dari mereka,” tegasnya.
Bagaimanapun, kata Frankie, beliau mengakui masih ada kekurangannya sehingga membuat keputusan untuk membina Dewan Seminar berhawa dingin supaya kumpulan kumpulan pelancong boleh berbincang di situ sebelum mereka menuju ke sesuatu destinasi.
Frankie seterusnya berkata, restoran itu turut menambah lot-lot gerai untuk menjual makanan Halal supaya pengunjung juga boleh membuat pilihan sendiri. Selain itu semua pekerjanya dimestikan memakai pakaian seragam berkuatkuasa 10 Oktober 2011.
Restoran yang dibina sekitar tahun 2010 dengan kos kira-kira RM1 juta telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun.
Serentak itu, Datuk Masidi turut meluluskan peruntukan sejumlah RM20,000 untuk meningkat keindahan lanskap di persekitaran restoran tersebut.
Kini restoran berkenaan bukan sahaja dikunjungi penduduk tempatan, malahan menjadi persinggahan popular para pelancong luar sebelum menuju ke destinasi seperti Batu Punggul dekat Sepulut, Taman Pertanian Sabah dekat Lagud Sebrang Tenom dan White Water Rafting di Pangi-Rayoh.
No comments:
Post a Comment