Friday 14 October 2011

PERLUAS TABUNG KHAS PERUMAHAN NELAYAN



KERAJAAN dicadang memperluaskan bantuan Tabung Khas Perumahan Nelayan bernilai RM300 juta dalam Belanjawan 2012 kepada nelayan sungai di seluruh negara.

Datuk Baharum Mohamed (BN-Sekijang) berkata nelayan sungai turut berbakti kepada penduduk kawasan sekitar kerana menjual ikan untuk manfaat penduduk setempat.

"Nelayan sungai ini tidak banyak di Semenanjung tetapi banyak di kawasan Sabah dan Sarawak, kadang-kadang kita tidak memberi perhatian kepada mereka tetapi merekalah yang memberikan sumbangan ikan kepada penduduk setempat.

"Saya berharap bantuan untuk membina dan membaiki rumah nelayan itu turut diberikan kepada nelayan di kawasan sungai," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 di Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Cadangan Baharum disokong Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) yang berkata pihak kerajaan mungkin terlepas pandang kepada nelayan sungai.

"Kalau ikutkan bantuan bulanan, nelayan sungai tidak menikmatinya kerana mereka tidak diberi lesen apatah lagi menerima subsidi minyak untuk kegunaan bot," katanya.

Beliau turut memohon Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya menimbangkan nasib nelayan sungai di seluruh negara terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Baharum turut mencadangkan bantuan sara hidup RM500 kepada isi rumah yang berdaftar dengan Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) diberi kelonggaran kepada mereka yang berpendapatan rendah di kawasan terpencil di luar bandar.

"Walaupun disyaratkan mesti berdaftar dengan LHDN, tetapi saya percaya kelonggaran dapat diberikan kepada penduduk yang tinggal di luar bandar dan pedalaman yang sememangnya tidak memiliki pendapatan tetap dan sukar berdaftar dengan LHDN.

"Penduduk di luar bandar semuanya berpendapatan rendah dan di bawah RM3,000. Oleh itu saya mencadangkan mereka tidak perlu berdaftar di bawah LHDN dan mereka layak secara automatik menerima bantuan sara hidup itu," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment