Sunday, 2 October 2011

RM1.641 BILION UNTUK PEMBANGUNAN SABAH



SEHINGGA 6 September lepas, RM 1.641 bilion di bawah pelan pusingan pertama Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dibelanjakan untuk program pembangunan di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman hari ini.

Katanya, memandangkan RMK-10 masih berada pada fasa awal pelaksanaannya, kerajaan negeri akan berusaha memastikan peruntukan di bawah pelan pusingan pertama dibelanjakan sepenuhnya, khususnya bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.

"Kerajaan negeri juga akan terus melipatgandakan usaha membasmi kemiskinan, khususnya di luar bandar memandangkan ia turut menjadi agenda utama kerajaan.

"Kita bersyukur kerana pelbagai program kerajaan yang dijalankan telah berjaya mencapai sasaran mensifarkan jumlah ketua isi rumah miskin tegar (KIRMT) pada penghujung tahun lepas," katanya berucap pada istiadat pengurniaan darjah dan pingat kebesaran negeri sempena hari jadi ke-58 Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di Kota Kinabalu, kelmarin.

Musa berkata melalui gabungan pelbagai program yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat dan negeri, masalah kemiskinan dan kemiskinan tegar di Sabah dapat diatasi dengan lebih berkesan.

Musa menegaskan sejumlah RM792.96 juta dibelanjakan di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan jumlah pelaburan swasta yang diterima dianggarkan berjumlah RM10 bilion, sementara jumlah pelaburan yang akan diterima pada tahun depan dijangka meningkat 10 peratus berbanding tahun ini.

"Kita yakin bahawa jumlah komitmen pelaburan yang terus menunjukkan trend peningkatan positif pada setiap tahun ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap kekukuhan asas dan prospek ekonomi, kestabilan politik dan tahap keselamatan di negeri ini.”

Katanya, penglibatan aktif para pelabur asing dan sektor swasta tempatan akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial, seterusnya memacu pembangunan yang lebih pesat untuk dinikmati rakyat.

Beliau berkata kerajaan negeri akan meneruskan momentum pelaburan di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) bagi menyokong aktiviti pembangunan ekonomi negeri agar terus berada pada tahap terbaik untuk menjana pertumbuhan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment